
WRUR MERLIMAU BAWA KONSEP ‘ADUAN DI KEDAI KOPI’
MERLIMAU 17 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau memanfaatkan kedai kopi sebagai platform mengumpul aduan rakyat dalam usaha memastikan setiap permasalahan disantuni sebaiknya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pendekatan dikenali sebagai ‘aduan di kedai kopi’ itu dilaksanakan dengan turun ke setiap kedai kopi mengikut kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi bertemu penduduk secara santai.
“Konsep WRUR DUN Merlimau ini adalah aduan di kedai kopi yang mana setiap hari kami akan turun ke kedai kopi mengikut kawasan JPKK untuk mengumpulkan aduan daripada rakyat.
“Setakat ini aduan yang diterima tidak begitu banyak dan ini petanda baik kerana setiap aduan akan dapat diselesaikan dengan cepat dan tidak bertangguh,” katanya.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Ziarah Kasih Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di beberapa kediaman di Kampung Merlimau Tengah dan Permatang Serai, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, pelaksanaan WRUR DUN Merlimau turut memperlihatkan segala usaha yang telah dilaksanakan sepanjang hampir empat tahun pentadbiran tetapi dalam skala yang lebih besar.
“Jika sebelum ini program ziarah kebajikan hanya mampu melibatkan kira-kira lima rumah dalam sehari tetapi menerusi program WRUR jumlah itu meningkat sehingga 40 rumah sehari dengan penglibatan lebih ramai pihak termasuk kehadiran Exco Kerajaan Negeri.
“Selain itu juga, banyak bantuan diterima daripada Kerajaan Negeri khususnya untuk mempercepatkan penyelesaian isu rakyat termasuk baik pulih rumah, pembaikan saliran dan jalan raya.
“Pendekatan ini amat baik kerana lebih dekat di hati rakyat dan saya berharap WRUR memberi manfaat yang besar kepada warga Merlimau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


