Sorting by

×

WRUR: MPAG BINA TIGA RUMAH BAHARU, 14 LAGI DIBAIK PULIH

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 6 November – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) melaksanakan projek baik pulih 14 unit rumah dan membina tiga kediaman baharu dalam kawasan pentadbirannya sepanjang tahun ini.

Inisiatif menyantuni rakyat itu termasuk projek yang dilaksanakan sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Mengulas berhubung inisiatif dilaksanakan, Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, berkata dua kediaman baharu dibina di DUN Durian Tunggal sementara itu sebuah lagi di DUN Machap Jaya.

“Bagi inisiatif bina baharu setiap kediaman dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan rekaan seragam, namum masih mengambil kira aspek keselesaan penghuni.

“Bagi projek baik pulih pula melibatkan kos keseluruhan melebihi RM460,000. Usaha ini adalah sejajar dengan komitmen MPAG yang mahu memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Masyarakat Di Hati MPAG Tahun 2025 sempena WRUR DUN Durian Tunggal di Kampung Panchor, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal merangkap Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, TPr. Saifuddin berkata pemilihan penerima bantuan pula berdasarkan senarai pemohon eKasih yang diterima daripada Pejabat Daerah Alor Gajah.

“Bagi kerja naik taraf atau naik taraf sempena WRUR kami akan memilih dua pemohon yang benar-benar memerlukan. Selain itu, MPAG turut menyalurkan sumbangan kit makanan dan pelbagai bantuan lain mengikut kesesuaian penerima,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

449
Kongsi :
Previous post WRUR: EMPAT PBT SENTIASA DEKAT DI HATI RAKYAT MELAKA
Next post APM MELAKA SIAP SEDIA HADAPI MTL