
WRUR: PERKASA SEKTOR PELANCONGAN DURIAN TUNGGAL
DURIAN TUNGGAL 2 November – Pemandangan sawah padi yang menarik dan aliran sungai berhampiran dianggap sebagai pakej lengkap bagi perancangan untuk membangunkan Kampung Beringin, di sini, sebagai produk pelancongan baharu di Melaka.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kedudukan Kampung Beringin juga dianggap sebagai strategik, sekali gus mampu menggamit ramai pengunjung serta pelancong.
Abdul Razak, berkata hasil sesi dialog bersama pemimpin masyarakat beberapa perkara dan cadangan dikemukan bagi memperkasakan sektor pelancongan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.
“Kita akan mengangkat Kampung Beringin sebagai pusat pelancongan dengan mengadakan program D’Bendang serta sukan reakrasi air di lokasi itu.
“Malah hasil dialog juga, kita akan meningkatkan jumlah inap desa atau ‘homestay’ dalam DUN Durian Tunggal,” katanya.
Terdahulu, Abdul Razak hadir pada sesi ‘townhall’ bersama kepimpinan masyarakat di Hari Terbuka Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya @Kampung Padang Keladi sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Durian Tunggal, di Balai Raya Kampung Padang Keladi, hari ini.
Sesi townhall itu turut disertai bersama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad.
Menurut Abdul Razak, sebagai Exco yang bertanggungjawab menerajui porfolio pelancongan, warisan, seni dan budaya negeri Melaka, pihak amat menghargai setiap cadangan yang dikongsikan dalam usaha merancakkan lagi pelancongan negeri.
“Memandangkan Durian Tunggal merupakan antara pintu masuk utama ke negeri ini terdapat juga cadangan untuk membina replika durian sebagai mercu tanda baharu.
“Banyak lagi yang diterima dan saya amat menghargai setiap cadangan itu malah ini membuktikan bahawa orang Durian Tunggal sangat komited untuk menaikkan sektor pelancongan di DUN ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


