
WRUR REMBIA: ASNAF TIDAK SENDIRIAN
REMBIA 10 Ogos – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus menyantuni golongan asnaf apabila menggerakkan program Sumbangan Kasih Rumah Asnaf bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.
Menerusi program itu, beberapa rumah asnaf yang tepilih di dalam DUN Rembia dilawati dan disantuni bersama-sama Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan serta agensi yang terlibat.
Bagi asnaf, Zaharah Marzuki, 57, berkata, sejak suaminya mengalami strok 10 tahun lalu keluarganya tidak sendirian atau diabaikan, sebaliknya sering disantuni.
Katanya, kunjungan pihak berkaitan secara tidak langsung dapat menceriakan suaminya yang kini berada dalam keadaan terlantar.
“Selalu juga rumah ini menerima kunjungan sama ada yang datang untuk menghantar sumbangan ataupun bertanya khabar suami.
“Apabila ada ziarah sebegini sekurang-kurangnya suami berpeluang untuk bercerita serta berborak dengan orang luar dan ini dapat menggembirakannya.
“Malah kata-kata semangat yang diberikan secara tidak langsung dapat memberi keyakinan dan kekuatan untuk suami terus tabah,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya di Taman Kebaya, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pendekatan diambil menerusi program WRUR ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara pemimpin setempat dan rakyat.
“Usaha ini agak bagus kerana pemimpin dapat melihat dan tahu keadaan masyarakat setempat malah ia secara tidak langsung boleh merapatkan lagi silaturahim,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.