
WRUR: SEPAKAT KEKALKAN AKTIVITI REWANG, PERTAHAN STATUS KAMPUNG TRADISIONAL
DURIAN TUNGGAL 4 November – Status satu-satunya kampung tradisional masih ada dalam dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal akan terus dipertahankan oleh penduduk Kampung Panchor, kerana bagi mereka ia adalah satu bentuk pengiktirafan dan keistimewaan.
Malah penduduk Kampung Panchor juga sepakat untuk mempertahankan identiti mereka yang terkenal dengan budaya rewang meskipun ketika ini ramai yang cenderung mengupah katering bagi penganjuran majlis-majlis tertentu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Panchor Borhan Maaras berkata, aktiviti rewang sentiasa menjadi pilihan masyarakat di kampung itu, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim.
“Kami aktif menganjurkan pelbagai program melibatkan semua penduduk seperti kenduri sekampung sempena menyambut Ramadan, kacau dodol dan majlis berbuka puasa, semua program ini dilakukan secara gotong-royong.
“Proses memasak lauk untuk tetamu dilakukan bersama-sama, kami bergilir-gilir dan semua ada peranan masing-masing, kemeriahan itu adalah sesuatu yang mahal dan perlu terus dipertahankan.
“Harapan saya semoga suri teladan dan semangat kerjasana kami menjadi ikutan orang muda, pada masa yang sama mendidik mereka mengenai nilai-nilai hidup bermasyarakat serta menghormati golongan lebih berusia,” katanya ketika ditemui di Balai Raya Kampung Panchor, semalam.

BORHAN meninjau gelanggang takraw yang akan dinaik taraf tidak lama lagi.
Menurutnya, lebih bermakna apabila setiap kali penganjuran program diadakan pastinya mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil.
“Meskipun sibuk dengan pelbagai urusan dan kekangan masa akibat jadual padat Yang Berhormat (YB) Zahari akan hadir meluangkan masa, sekadar singgah sebentar menyantuni penduduk itu sudah cukup bermakna buat kami.0
“Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang senang disapa dan sentiasa cakna dengan kepayahan penduduk, setiap kali musim perayaan YB Zahari akan singgah ke rumah penduduk. Contoh ketika sambutan Tahun Baharu Cina, beliau sendiri akan ke rumah penduduk untuk menghantar limau, itu membuatkan masyarakat tersentuh dan rasa dihargai,” katanya.
Borhan berkata, selain berjiwa rakyat Zahari juga seorang yang amat prihatin dan cakna terhadap keperluan rakyat khususnya membabitkan kemudahan fasiliti.
“Bagi memberi keselesaan untuk anak-anak beriadah pada waktu petang YB Zahari meminta agar gelanggang takraw untuk dinaik taraf dan Alhamdulillah permohonan itu diluluskan.
“Tidak lama lagi, anak-anak di sini dapat bermain takraw dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


