Sorting by

×

WRUR: SETAHUN TANPA BANJIR, PENDUDUK DURIAN TUNGGAL TARIK NAFAS LEGA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Oktober – Perancangan yang teratur dan teliti oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek mengatasi banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal sejak setahun lalu mula membuahkan hasil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan lokasi sebelum ini kerap terjejas hampir bebas daripada bencana banjir.

Katanya, antara projek utama berjaya disiapkan setakat ini adalah pembinaan bulatan baharu dan sistem perparitan terancang di Pekan Durian Tunggal.

Menurutnya, kejayaan itu hasil usaha bersepadu antara agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan bertujuan memastikan sistem saliran serta jalan raya di lokasi berkenaan lebih tersusun.

“Alhamdulillah, sejak tahun lalu hingga sekarang tidak ada laporan banjir diterima di Durian Tunggal. Penduduk juga memaklumkan mereka berpuas hati kerana kawasan yang sebelum ini kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat tidak lagi terjejas.

“Walaupun tidak bebas banjir sepenuhnya, namun hasil penambahbaikan ini jelas memberi kelegaan kepada penduduk kerana sistem perhubungan dan pengairan berfungsi dengan lebih baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini sempena Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Kampung Beringin, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, selain banjir, isu kesesakan di Pekan Durian Tunggal juga diatasi menerusi pelaksanaan kerja naik taraf dan pembukaan jalan baharu di Padang Keladi.

“Pelbagai usaha dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak. Segala inisiatif ini adalah hasil keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta barisan Exco sentiasa memberi perhatian terhadap kesejahteraan pengguna jalan raya dan penduduk setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post WRUR DURIAN TUNGGAL SANTUNI 70 KELUARGA
Next post WRUR: PENDUDUK KAMPUNG GANGSA BERSYUKUR MILIKI KERAJAAN PRIHATIN