
WRUR: SUP PAK KARIM KAMPUNG PANCHOR ADA ‘UMPHH’
DURIAN TUNGGAL 4 November – Keenakkan sup hasil air tangan Karim Jaafar, 59, bukan sahaja menambat hati penduduk Kampung Panchor malah turut digemari pelanggan dari luar Melaka.
Aroma kuah sup yang disediakan Karim atau lebih dikenali sebagai Pak Karim membuatkan juadah yang dijual warungnya itu menjadi bualan ramai pelanggan.
Menurutnya bapa kepada empat anak itu, dia mengusahakan gerai makan dengan menjual makanan panas dan mi bandung sejak berbelas tahun lalu dan baru setahun lebih menumpukan kepada aneka sup.
Katanya, idea untuk menawarkan hidangan itu timbul apabila pelanggan berkunjung ke gerainya kerap menyuarakan kesukaran mereka untuk menjamah sup di kawasan kampung berkenaan.
“Berbekalkan resipi yang pernah diajar oleh seorang rakan, saya kemudian mengolahnya bagi mendapatkan rasa sup yang boleh diterima dan digemari ramai.
“Tidak sangka adunan rempah dan ‘bahan rahsia’ digunakan dalam resipi sup dapat diterima ramai malah saya turut diberitahu nama kedai saya kini menjadi sebutan di Kuala Lumpur.
“Menurut pelanggan, apabila sebut sahaja Warung Pak Karim kebanyakkan orang sudah tahu terletak di Kampung Panchor dan terkenal dengan sup,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut bekas pekerja kilang itu, sebagai peniaga makanan dia lebih mementingkan kualiti dalam setiap hidangan yang disediakan bagi memastikan kepuasan hati pelanggan.
“Sekiranya dulu saya hanya memasak sup dalam periuk saiz sedang, tetapi kini kuantiti itu sudah bertambah untuk itu saya perlu pastikan rasa sup tetap sama.
“Ini kerana saya tidak mahu menghampakan pelanggan kerana ada antara mereka yang semata-mata datang ke sini untuk makan sup.
“Selain sup turut menjadi hidangan pilihan pelanggan setiap kali datang ke warung saya adalah mee bandung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


