
WRUR TABOH NANING: PROSES ‘TAGGING’ JADIKAN SISTEM PENGURUSAN TERNAKAN MELAKA LEBIH TERATUR
TABOH NANING 2 September – Inisiatif Sistem QR Tagging Haiwan Ternakan menjadikan sistem pengurusan ternakan di Melaka lebih teratur, efisien dan pada masa yang sama meningkatkan aspek keselamatan khusus pengguna jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pemilik atau penternak di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diminta supaya menyokong inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri dengan menyegerakan pendaftaranΒ ternakan masing-masing.
Katanya, inisiatif dilaksanakan bukan bertujuan untuk menghukum mana-mana pihak sebaliknya mengangkat sistem pengurusan haiwan di negeri ini ke satu tahap lebih tinggi dan pada masa yang sama mendidik penternak agar lebih bertanggungjawab.
“Penternak perlu akur berhubung tindakan penguatkuasaan dilaksanakan Kerajaan Negeri, semua ini demi kebaikan semua pihak iaitu orang awam, pemilik dan ternakan itu sendiri. Sebelum ini kerap berlaku kemalangan melibatkan ternakan, termasuk ada mengakibatkan kehilangan nyawa kita tidak mahu perkara ini terus berulang.
“Saya amat berharap lebih ramai penternak dalam DUN Taboh Naning supaya menyegerakan proses ini sementara ianya masih lagi percuma,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Tagging QR Ternakan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Taboh Naning yang turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh di Ladang Ternakan Lembu Taboh Naning Kampung Cherana Putih, semalam.
Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, proses tangging di ladang berkenaan melibatkan keseluruhan 110 ekor ternakan.
Terdahulu pada 16 Mei lalu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan peluncuran Sistem QR Tagging Haiwan Ternakan, sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri rintis dalam pelaksanaan inisiatif itu.
Pelaksanaan inisiatif itu, membuktikan sektor penternakan juga mampu bergerak seiring revolusi digital dan teknologi pintar, sekali gus meninggalkan kaedah pengurusan tradisional.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

