
WRUR: TERIMA KASIH TAPEM
DURIAN TUNGGAL 2 November – Seramai 60 anak jati Melaka sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal menerima bantuan daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).
Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil, berkata penyaluran bantuan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan tidak ada anak Melaka yang keciciran dalam pelajaran.
“Terima kasih saya ucapkan kepada TAPEM, bantuan disalurkan bukan sekadar meringankan beban perbelanjaan anak-anak ini sebaliknya menyuntik semangat dalam jiwa mereka untuk cemerlang dalam akademik.
“Penyampaian bantuan kali ini adalah bagi siri kedua, terdahulu pada Mac lalu sudah berlangsung penyerahan bagi siri satu kepada anak-anak dalam DUN Durian Tunggal yang kini masih bersekolah atau sedang melanjutkan pengajian di universiti atau institusi pengajian tinggi yang lain,” katanya.
Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung pada Hari Aduan Rakyat Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Durian Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, hari ini.
Program itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Zahari, berkata berdasarkan usaha berterusan TAPEM tidak mustahil akan lahir lebih ramai anak Melaka khususnya dari DUN Durian Tunggal yang berjaya dan bergelar tokoh terkemuka dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


