Sorting by

×

WTD 2025: MELAKA TERIMA 25 KERETA ELEKTRIK

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KLEBANG 25 September – Melaka menerima 25 buah kenderaan elektrik (EV) sebagai kereta rasmi Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.

Ia menerusi kerjasama strategik di antara Kerajaan Negeri dengan Honda Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu sangat bertepatan dengan tema WTD 2025 iaitu ‘Pelancongan dan Transformasi Mampan’, terutamanya dalam menyokong inisiatif hijau dan pembangunan lestari di Melaka.

Jelas beliau, kereta tersebut akan digunakan oleh agensi-agensi kerajaan negeri bagi tujuan operasi dan promosi WTD 2025 sehinggalah pada pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0 pada hujung tahun ini.

“Kerajaan Negeri amat menghargai peranan Honda Malaysia yang telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Melaka, selain menjadi satu-satunya kilang pemasangan kereta di negara ini yang ada di Melaka.

“Dengan sumbangan ini, ia bukan sahaja mencerminkan kerjasama erat Kerajaan Negeri dengan syarikat kereta bertaraf dunia ini, bahkan ia juga menunjukkan komitmen Melaka dalam memperkasa mobiliti hijau demi kelestarian alam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Simbolik Penyerahan Kereta Honda EV sempena WTD 2025 di Encore Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut optimis kenderaan-kenderaan tersebut akan mempamerkan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan yang moden dan peka terhadap alam sekitar.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita amat mengalu-alukan kerjasama seumpama ini yang bukan sahaja membantu penyampaian perkhidmatan dalam aspek logistik, malah ia juga melambangkan komitmen bersama dalam mempromosikan amalan lestari dan mengurangkan jejak karbon di negeri ini,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

506
Kongsi :
Previous post WTD 2025: ZAPIN IDENTITI KITA
Next post ‘PENTAS ATAS SELAT MELAKA’ BONGKAR KEHEBATAN, KEAGUNGAN BUMI BERSEJARAH