Sorting by

×

WTD 2025, PELANCARAN VM 2026 MERCU TANDA KESEPADUAN NILAI BUDAYA LOKAL, FASILITI BERTARAF GLOBAL

Masa Membaca:5 Minit, 28 Saat

Norena Jaafar
Ketua Pegawai Eksekutif
Bahagian World Tourism Melaka
Jabatan Ketua Menteri Melaka
[email protected]

Akmal Adanan
Pensyarah Kanan,
Faculty of Hotel and Tourism Management
UiTM Cawangan Melaka
[email protected]

Whatsapp image 2025 09 22 at 11.38.39  Whatsapp image 2025 09 22 at 11.38.58
______________________________________________________________________

PEMILIHAN Melaka sebagai tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (World Tourism Day – WTD 2025) merupakan satu pengiktirafan besar yang bakal menjadikan negeri ini tumpuan masyarakat antarabangsa.

Acara WTD 2025 akan berlangsung pada 27–29 September 2025 dengan tema ‘Tourism & Sustainable Transformation’ dan turut disertai Persidangan Pelancongan Dunia (World Tourism Conference – WTC) 2025.

Penganjuran program berprestij oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB (UNWTO) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Negeri Melaka ini membawa mesej yang jelas mengenai kepentingan inovasi, inklusiviti, serta transformasi mampan dalam industri pelancongan sejajar Matlamat Pembangunan Lestari 2030.

Pemilihan Melaka juga membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan negeri ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, didukung status bandar Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kesiapsiagaan Melaka Sebagai Tuan Rumah

Kerajaan Negeri Melaka menzahirkan komitmen penuh dalam memastikan kesediaan menjelang WTD 2025. Persiapan rapi telah dilaksanakan melalui penubuhan Sekretariat WTD2025 serta libat urus erat bersama MOTAC dan UNWTO.

Segala perincian program, pemilihan lokasi utama dan jemputan delegasi antarabangsa telah dimuktamadkan menjelang dengan persiapan di peringkat akhir berjalan lancar. Dengan prasarana lengkap dan fasiliti bertaraf antarabangsa, Melaka telah bersedia untuk acara sebesar ini.

Hotel penginapan, pusat persidangan moden serta sistem logistik telah dipertingkat bagi menyambut ketibaan ribuan delegasi WTD dari lebih 150 negara.
Malah, acara kemuncak WTD 2025 dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan diadakan di Encore Melaka, merupakan mercu tanda seni bina moden dengan kapasiti ribuan penonton dan fasiliti bertaraf antarabangsa.

Lokasi strategik ini dipilih kerana keupayaannya mengendalikan acara bertaraf dunia menggabungkan keindahan panorama laut dengan kecanggihan teknologi persembahan, sekali gus menyerlahkan keunikan Melaka kepada para delegasi dunia.

Keseluruhan jentera kerajaan negeri dan persekutuan digerakkan dengan efisien untuk memastikan kelancaran setiap atur cara yang dirancang.

Sempena World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025, pelbagai program sisipan menarik akan diadakan menerusi Karnival WTD 2025 @ Encore Melaka serta beberapa lokasi terpilih di seluruh negeri. Program ini bukan sahaja untuk para delegasi persidangan antarabangsa, tetapi juga khusus buat rakyat Malaysia yang ingin merasai kemeriahan sambutan global ini.

Antara acara yang menjadi tarikan termasuk persembahan 1,000 penari zapin, pertandingan tradisional Konda-Kondi, penglibatan Zus Coffee dan Zus Buddy, Pameran Enrique de Malacca, Festival Layang-Layang Antarabangsa, Karnival Usahawan, serta Visit Malaysia Travel Meet yang menghimpunkan pelbagai pemain industri pelancongan.

Penganjuran ini turut memperlihatkan ketersediaan prasarana moden, mutu hospitaliti bertaraf dunia, serta kerjasama semua pihak secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan acara mega ini.

Rakyat Melaka Sebagai ‘Duta’ Hospitaliti

Kesediaan Melaka selaku tuan rumah bukan sahaja terletak pada komitmen kerajaan, tetapi juga pada peranan rakyatnya.

Kerajaan Negeri mengajak seluruh rakyat Melaka menjadi ‘duta kecil’ dengan mempamerkan layanan dan hospitaliti terbaik kepada tetamu dari serata dunia sepanjang WTD 2025 berlangsung.

Menyedari WTD 2025 akan dihadiri delegasi dari 159 negara, diharap rakyat negeri Melaka mengambil peluang ini untuk menunjukkan keunikan serta keunggulan warisan dan budaya negeri kepada para pelancong antarabangsa.

Sikap mesra pelancong, kesopanan, kebersihan persekitaran, dan semangat membantu perlu diserlahkan oleh penduduk tempatan sebagai tuan rumah.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan imej Melaka di mata dunia, malah akan meninggalkan kenangan manis kepada pelawat.

Usaha semua pihak dari pemandu teksi, peniaga kecil hinggalah komuniti homestay dalam menyambut pelancong dengan mesra akan memperlihatkan keunggulan warisan Melaka kepada dunia.

Pengiktirafan antarabangsa Melaka sebagai tuan rumah WTD dan WTC 2025 ini merupakan peluang besar untuk mempromosi keunikan negeri bersejarah ini. Justeru seluruh rakyat digalakkan menjadi barisan hadapan yang meraikan kedatangan tetamu dunia dengan keramahan dan kemesraan.

Whatsapp image 2025 09 25 at 14.07.13

Manfaat Melaka Sebagai Tuan Rumah WTD 2025

Menjadi tuan rumah WTD 2025 memberi pelbagai manfaat strategik kepada Melaka dan Malaysia.

Pertama, ia membuka ruang mempromosikan inovasi produk pelancongan serta khazanah budaya tempatan ke pentas global. Lebih 1,000 peserta termasuk pemimpin industri pelancongan, pembuat dasar, pakar dan media antarabangsa bakal berhimpun di Melaka, menyediakan publisiti dan jaringan hubungan yang luas.

Kedua, acara ini mengukuhkan imej Malaysia di persada dunia. Pemilihan negeri Melaka sebagai tuan rumah mencerminkan komitmen negara terhadap pelancongan lestari dan kemampuan menganjurkan program bertaraf antarabangsa.

Seterusnya, penganjuran WTD 2025 akan memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan tempatan, industri hotel, makanan, kraftangan dan perusahaan kecil sederhana. Dengan kedatangan delegasi dan pelancong asing, dijangka peningkatan penggunaan perkhidmatan pelancongan dan perbelanjaan pelawat yang merancakkan ekonomi setempat.

Kejayaan Melaka menarik acara global ini bukan sahaja mengangkat nama Melaka ke persada antarabangsa malah memberi limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat melalui sektor pelancongan dan berkaitan.

Malah, Melaka telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah Pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026), sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan ikonik rantau ini. Sinergi antara kempen pelancongan negeri dan nasional ini menunjukkan Melaka berada di landasan tepat sebagai peneraju industri pelancongan negara.

Pengalaman Melaka Menganjurkan Acara Bertaraf Kebangsaan dan Antarabangsa

Melaka bukan pendatang baharu dalam menganjurkan acara berskala besar. Tahun 2025 menyaksikan Melaka terus membuktikan keupayaan sebagai tuan rumah pelbagai acara berprofil tinggi antaranya, negeri ini dipilih menganjurkan Persidangan Koperasi Masjid Seluruh Negara dan Sambutan Hari Koperasi Negara 2025 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang menghimpunkan ratusan peserta dari seluruh negara.

Melaka turut diberi penghormatan menjadi tuan rumah Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) 2025, yang dianjurkan bersama Melaka International Halal Festival (MIHF’25) di MITC Ayer Keroh dengan kehadiran ratusan usahawan serta menteri agama serantau.

Selain itu, pemilihan Melaka bagi menganjurkan 19th ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (AMMTC) 2025 yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung ASEAN menegaskan keyakinan antarabangsa terhadap kemampuan negeri ini mengendalikan mesyuarat diplomatik dan keselamatan serantau berprofil tinggi.

Kesimpulan

Negeri Hang Tuah, Melaka bukan sahaja memiliki sejarah gemilang sebagai pusat perdagangan dunia satu ketika dahulu, malah kini membuktikan kemampuan menggalas peranan sebagai tuan rumah acara bertaraf dunia.

Kehebatan Melaka sebagai destinasi pelancongan unggul akan terus terserlah, seiring dengan aspirasi menjadikan negeri ini sebuah negeri yang hebat dan terbilang di pentas antarabangsa.

Secara keseluruhannya, Melaka berada di landasan yang tepat dan kukuh sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025. Dengan warisan sejarah yang panjang, budaya Peranakan, seni tradisional seperti Dondang Sayang, serta keunikan asimilasi rakyatnya, Melaka terbukti sebagai lokasi ideal untuk acara bertaraf global.

Kerjasama erat kerajaan, agensi dan komuniti menjadikan Melaka bukan sahaja destinasi pelancongan unggul, tetapi juga tuan rumah bertaraf dunia.

Melaka kini bersedia mengukir sejarah baharu, menyambut dunia dengan penuh kebanggaan dan keramahan. Berbekalkan pengalaman menganjurkan pelbagai acara besar sebelum ini serta iltizam seluruh rakyatnya, sambutan WTD 2025 di Melaka akan berlangsung meriah dan gemilang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

987
Kongsi :
Previous post KOMITMEN MELAKA PERKASA INOVASI