
WTD 2025: ZAPIN IDENTITI KITA
AYER KEROH 25 September – Ribuan kaki akan melangkah seiring rentak Zapin atas dasar semangat seni bagi menjayakan ‘flashmob’ kebudayaan terbesar di negeri ini, sekali gus mencipta detik bersejarah yang bakal terpahat sebagai kenangan dalam kalangan peserta.
Nur Najmul Nabilah Md Salmi, 18, adalah seorang daripada 3,000 penari akan menjayakan persembahan itu bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 serta pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di Encore Melaka, Klebang Sabtu ini.

Dia mewakili Kolej Komuniti Kota Melaka menganggap peluang menyertai persembahan itu sebagai satu penghargaan besar buat dirinya kerana dapat mempersembahkan seni budaya Malaysia di hadapan ribuan penonton termasuk 159 delegasi asing yang berkampung di Melaka sempena WTD dan WTC 2025.
“Suasananya pasti luar biasa pada Sabtu ini. Tetapi sejak memulakan latihan saya dapat merasakan aura kebersamaan kerana semua bersemangat menjayakan persembahan istimewa ini.
“Zapin bukan sekadar tarian untuk menyambut tetamu tetapi ini adalah sebahagian daripada identiti kita,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada sesi latihan flashmob zapin di Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Melaka, di sini.

Nada sama disuarakan Syafieqah Alya Abdullah, 18, dari Kolej Komuniti Tampin yang menyifatkan penyertaan itu sebagai ruang mengeratkan silaturahim dengan rakan-rakan selain memupuk rasa cinta terhadap seni tradisi.
“Setiap langkah zapin ada makna tersendiri. Apabila kita menari beramai-ramai, ia memberi mesej bahawa budaya kita masih hidup dan terus disemarakkan,” ujarnya.

Sementara itu sukarelawan daripada Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Seri Seruling, Siti Welmiy Atsid, 42, berkata latihan yang dijalankan sejak seminggu lalu berlangsung dalam suasana meriah.
“Saya memang minat menari, apabila rakan memaklumkan tarian kebudayaan dipersembahkan secara flash mob dan memerlukan jumlah penari yang ramai saya terus mendaftar Khan diri,” katanya.
Flashmob zapin akan dipersembahkan pada malam kemuncak 27 September sempena pelancaran VM2026 seterusnya bakal dipahat dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) apabila membabitkan lebih 3,000 penari tempatan dan negara jiran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.