
XPDC JEJAK WARISAN TEROKA SEJARAH MELAKA
AYER KEROH 10 Ogos – Meneroka warisan sejarah Melaka menerusi cabaran berkonsepkan pencarian harta karun di tiga daerah dalam Negeri Melaka menjadi antara tarikan XPDC Jejak Warisan Melaka 2025, pada November ini.
Program anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu diadakan pada 8 November 2025 bermula jam 8 pagi sehingga 4 petang dengan yuran penyertaan hanya RM100 sepasukan.
Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, program menyasarkan penyertaan 200 peserta dan melibatkan 50 kumpulan itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat mengunjungi dan memahami tapak bersejarah di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Selain meningkatkan pengetahuan sejarah, XPDC ini menguji kemahiran pemikiran kritis, kerjasama, kreativiti dan sosial peserta melalui aktiviti berbentuk ‘treasure hunt’ yang menyeronokkan.
“Kita mahu golongan muda melihat sejarah sebagai pembelajaran dinamik, bukan sekadar melalui kaedah tradisional,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga daerah berkenaan mempunyai kepelbagaian tapak bersejarah termasuk monumen, masjid, rumah tradisional dan kubur lama yang meliputi pelbagai era, budaya serta peristiwa penting membentuk identiti Melaka.
“Penyertaan dibuka kepada rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, dengan format cabaran melibatkan kuiz, tugasan fizikal dan pencarian petunjuk di lokasi.
“Peserta dibenarkan menggunakan peranti pintar atau ‘internet’, namun digalakkan mendapatkan jawapan tepat di lokasi.
“Selain hadiah wang tunai hingga tempat ke-10, penganjur turut menyediakan hamper, hadiah misteri serta cabutan bertuah termasuk televisyen, telefon bimbit dan peralatan elektrik. Semua peserta akan menerima sijil penyertaan,” katanya.
Katanya, program itu bukan sahaja mempopularkan warisan Melaka, malah memperkenalkan lokasi sejarah kurang dikenali termasuk di kawasan pedalaman.
“Jika sambutannya menggalakkan, tidak mustahil XPDC ini akan dijadikan acara tahunan pada masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.