Sorting by

×

YUSOFF, HONG JUN TERIMA ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA UTEM

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

DURIAN TUNGGAL 3 November – Leftenan Muda KOR SISPA (Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam) yang juga mantan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Muhammad Yusoff Ali, 26, dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-21.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Automotif) dengan Kepujian itu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.77 di samping telah menerima sebanyak tujuh kali Anugerah Dekan.

Selain Yusoff, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Gan Hong Jun, 26, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri dan Robotik) dengan kepujian bersama pencapaian PNGK 3.97.

Kedua-dua mereka menerima pingat, sijil anugerah, wang tunai RM 7,500 dan nombor plat eksklusif UTeM.

Muhammad Yusoff yang berasal dari Shah Alam, Selangor, berkata sebagai seorang mahasiswa antara cabaran terbesarnya sepanjang pengajian adalah mengurus masa dan mencari keseimbangan antara belajar serta aktiviti kepimpinan dalam MPP serta ko kurikulum pasukan beruniform.

“Namun pengalaman ini banyak mengajar saya tentang disiplin diri dan kepentingan perancangan yang baik dan nilai bahawasanya saya tidak bekerja seorang diri.

“Kita perlu menanam keazaman yang teguh dalam diri di samping sokongan doa berterusan daripada ibu dan ayah serta dorongan hebat yang diberikan oleh barisan pensyarah serta rakan-rakan merangsang untuk kita terus berjaya,” kata anak sulung daripada 2 orang adik beradik kepada pasangan Ali Abdullah (64 tahun) dan Rozita Aalib Berumur (49 tahun)

Sementara itu, Hong Jun berasal dari Muar, Johor pula berkata, antara faktor yang menyokong ke arah kejayaan adalah ingin mengubah nasib keluarganya ke arah tingkat ekonomi yang lebih baik.

“Selain itu, motivasi peribadi untuk terus belajar bersungguh-sungguh di samping pengurusan masa yang efektif serta tidak suka bertangguh dalam menyempurnakan sesuatu urusan samada berkaitan akademik mahupun aktiviti berkaitan ko kurikulum,” ujarnya.

Mereka berdua merupakan antara 3,278 graduan UTeM yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari bermula hari ini hingga 3 November membabitkan enam sesi itu.

Majlis Konvokesyen UTeM ke-21 disempurnakan oleh Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

585
Kongsi :
Previous post WRUR: EXCO ANGKAT BANTU SELESAI MASALAH SECARA LEBIH MENYELURUH
Next post WRUR: SIMBOL KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK – EXCO