Sorting by

×

13 Kluster babitkan 977 kes HFMD di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 12 Mei – Jumlah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka mencatatkan peningkatan mendadak apabila 977 kes dicatatkan berbanding cuma 95 bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, setakat ini 13 kluster dilaporkan termasuk lima tadika, empat kes membabitkan taska dan dua kes masing-masing di pusat jagaan serta dua rumah persendirian.

Beliau berkata, situasi HFMD di Melaka masih terkawal namun ibu bapa perlu berwaspada termasuk mengenal pasti tanda-tanda kanak-kanak.

“Ibu bapa dinasihatkan jangan menghantar anak-anak yang tidak sihat ke sekolah atau tadika, bawa segera ke klinik jika terdapat tanda-tanda HFMD.

“Ajar anak-anak supaya sentiasa menjaga kebersihan diri dan jangan berkongsi barang peribadi dengan rakan.

“Sekiranya keadaan kesihatan anak bertambah teruk, bawa mereka segera untuk mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bilangan kes yang dilaporkan pada tahun lalu direkodkan rendah kerana berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan taska, tadika, pusat jagaan dan sekolah ditutup.

Tambahnya lagi, arahan penutupan membabitkan 11 buah premis iaitu tujuh di daerah Jasin, tiga di Melaka Tengah dan sebuah premis di Daerah Alor Gajah yang dilakukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ujarnya lagi, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sentiasa memantau perkembangan kes itu dan berberapa sesi ‘town hall’ bersama pengusaha tadika dan taska telah dilaksanakan.

“Town hall bersama pemilik pasar raya dan pusat membeli belah juga dilakukan bagi bersama membendung kes HFMD di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

695
Kongsi :
Previous post Saya masih Ketua Menteri Melaka – Sulaiman
Next post Kenyataan rasmi Ketua Menteri Melaka
Ubah saiz-+=