Sorting by

×

Kenyataan rasmi Ketua Menteri Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BERIKUT ADALAH KENYATAAN MEDIA YAB DATUK SERI UTAMA HAJI SULAIMAN BIN MD ALI
KETUA MENTERI MELAKA

1. Setelah memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka ke 15 yang lalu, saya bersama-sama
EXCO dan anggota pentadbiran kerajaan negeri berusaha gigih melaksanakan
program-program pembangunan negeri Melaka dan memenuhi aku janji-aku janji yang
telah dilafazkan. Segala usaha ini adalah untuk memastikan negeri Melaka dan
rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang
setanding dengan negeri-negeri dan negara-negara maju yang lain.

2. Ketika ini saya berada di Sarajevo, Bosnia and Herzegovina, mengetuai misi pelaburan
negeri dan menghadiri Sarajevo Business Forum 2022. Turut hadir bersama-sama
dengan saya ialah YB Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian,
Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Misi ini adalah untuk melihat peluang-peluang
pelaburan di sini serta untuk menarik pelaburan asing ke negeri Melaka.

3. Pada masa yang sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat
perkembangan yang berlaku di negeri Melaka, baik daripada segi pentadbiran kerajaan
negeri mahupun daripada segi perkembangan politik tanah air.

4. Saya ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus
berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk
pimpinan. Saya menafikan dakwaan bahawa saya telah meletakkan jawatan sebagai
Ketua Menteri Melaka. Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat
kestabilan Kerajaan Negeri Melaka yang saya terajui selepas PRN Melaka ke-15.

5. Isu sebegini tidak sepatutnya timbul terutamanya ketika UMNO dan Barisan Nasional
negeri Melaka sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas
kembali kerusi parlimen yang telah hilang semasa PRU 14 lalu. Keterbukaan saya
mendengar pandangan ahli-ahli politik negeri Melaka bukanlah suatu kelemahan,
sebaliknya ia adalah kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik.

6. Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya menyeru agar kita semua bermuhasabah
demi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memenangi
PRU 15 akan datang. Kita punya agenda yang lebih besar dan utama dari bermain
politik seperti ini. Saya orang parti, dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi
keputusan yang telah dibuat oleh parti.

TAMAT

DIKELUARKAN OLEH :
PEJABAT KETUA MENTERI MELAKA
12 MEI 2022

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

658
Kongsi :
Previous post 13 Kluster babitkan 977 kes HFMD di Melaka
Next post JPJKK akan distruktur semula – Bukit Aman
Ubah saiz-+=