13 tahun menunggu, suami isteri reda belum rezeki dijemput ke ‘Rumah Allah’

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

PAYA RUMPUT 13 Jun – “13 tahun kami menunggu untuk menunaikan ibadah haji, namun mungkin perancangan Allah SWT itu lebih baik di masa akan datang.”

Demikian luahan pasangan suami isteri bakal haji, Zoolhilmi Awang, 46, dan Nor Emizarith Fizura Othman, 42, yang akur apabila hasrat itu kini tertangguh.

Menurut Zoolhilmi, dia dan isteri mendaftar di Tabung Haji pada 2008 dan telah menerima tahun giliran menunaikan Haji pada 1442 Hijrah atau tahun ini.

Atas faktor itu, ujarnya, dia dan isteri sudah mula membuat persiapan kecil-kecilan sebagai persediaan menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Namun, siapa mereka untuk menidakkan ketentuan Allah, apabila menerima perkhabaran yang giliran mereka mungkin dianjakkan beberapa tahun lagi.

“Sepatutnya, awal tahun ini atau sebelum puasa Tabung Haji akan memaklumkan kami mengenai giliran itu, tetapi kami tidak menerima apa-apa maklumat sehinggalah semalam dapat tahu pengumuman daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Apapun, kami anggap mungkin ada hikmah di sebalik semua yang berlaku dan kami reda. Mungkin daripada pandemik ini ia mengajar kita untuk menilai diri sama ada benar-benar sihat atau tidak, atau mungkin juga kita diberikan lebih masa untuk menambahkan lagi ilmu dan memantapkan persediaan.

“Kepada golongan muda, kami nasihatkan cepat-cepatlah mendaftar di Tabung Haji. Sedangkan kami yang sudah 13 tahun menunggu belum diberi peluang, tidak tahulah apa akan jadi jika semakin lambat anda mendaftar,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Taman Bertam Jaya, hari ini.

Sementara itu, Nor Emizarith Fizura berkata, jauh di sudut hatinya memang teruja untuk menunaikan ibadah haji memandangkan dia dan suami masih belum berkesempatan menunaikan umrah dan sudah menanti begitu lama untuk melihat Kaabah secara lebih dekat.

Meskipun begitu, ibu kepada tiga anak itu sama sekali tidak kecewa sebaliknya menitipkan doa agar giliran dia dan suami dijemput ke Rumah Allah itu tiba tatkala usia masih muda dan kesihatan masih lagi baik.

“Perasaan itu lebih kepada reda sebab kita tidak kecewa kerana faham dengan situasi sekarang, cuma kita berdoa dan berharaplah dapat menjadi tetamu Allah dalam usia muda dan kesihatan yang mengizinkan.

“Walaupun kita dah dapat giliran pada tahun ini, namun kita harus berbalik kepada prinsip Allah menentukan segala-galanya dan perancangan Allah itu lebih hebat daripada perancangan manusia,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan kerajaan tidak akan menghantar jemaah haji pada Musim Haji 1442H.

Ia susulan menghormati keputusan Kerajaan Arab Saudi yang memutuskan ibadah tahun ini dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja disebabkan situasi pandemik COVID-19 yang masih membimbangkan di seluruh dunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

749
Kongsi :
Previous post Haji: Keputusan Arab Saudi bukti keprihatinan keselamatan umat Islam -TH
Next post Pelan pemulihan negara untuk persiapan keluar pandemik COVID-19 dirangka- Muhyiddin
Ubah saiz-+=