Haji: Keputusan Arab Saudi bukti keprihatinan keselamatan umat Islam -TH

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR 13 Jun – Keputusan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji tahun ini dilaksanakan oleh warganegara dan penduduk negara lain yang berada di negara itu, membuktikan keprihatinan mereka terhadap keselamatan dan kesihatan umat Islam seluruh dunia ekoran pandemik COVID-19, kata Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata TH akur dengan keputusan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin. Foto – TH

“Walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir, TH menerima keputusan yang telah dibuat oleh pihak Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.

“TH amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadah haji jemaah negara ini sejak dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi itu.

Mengulas lanjut, Amrin berkata bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada 2020 dan telah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada 2021, kini diberi keutamaan untuk menunaikan haji pada 2022.

Bagi bakal haji yang gilirannya pula adalah pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada 2022, tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa, katanya lagi.

TH akan menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1442H/2021M dan rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi boleh memohon untuk menunaikan haji tahun ini melalui Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Pemilihan tertakluk kepada kriteria prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan tersebut,” katanya.

Beliau turut menasihati umat Islam di Malaysia agar tidak terpengaruh dengan mana- mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh melayari laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau hubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di 03-62071919.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

292
Kongsi :
Previous post Cawangan KWSP di seluruh negara kekal ditutup sehingga 28 Jun 2021
Next post 13 tahun menunggu, suami isteri reda belum rezeki dijemput ke ‘Rumah Allah’
Ubah saiz-+=