PRN MELAKA: KERJASAMA BN-PN DI LENDU, PENYATUAN TANPA PINGGIR KAUM LAIN

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

LENDU 12 November – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Lendu turut membawa mesej penyatuan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Calon BN bagi DUN Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, beliau amat menghargai sokongan, bantuan dan pandangan yang diberikan rakan-rakan daripada PN dalam membantu gerak kerja kempen di kawasan berkenaan.

Menurutnya yang juga calon nombor 1, pertemuan antara kedua-dua gabungan itu telah diadakan di peringkat kawasan bagi memperkukuh kerjasama serta menyelaraskan gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.

“Saya amat menghargai pertolongan dan juga pandangan mereka yang mana kita telah pun membuat perjumpaan di peringkat Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Kerjasama yang diberikan saya anggap sangat positif dan cukup bermakna buat BN kerana penyatuan ini juga merupakan satu perkara yang sangat ditunggu oleh masyarakat, khususnya orang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Lendu, di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penyatuan berkenaan tidak bermaksud kaum-kaum lain diketepikan, sebaliknya semua masyarakat terus dirangkum dalam semangat kebersamaan.

“Kita tidak pernah meninggalkan kaum-kaum yang lain untuk kita bergerak dalam satu penyatuan yang dianggap sudah lama ditunggu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

125
Kongsi :
Previous post PELANCONG INDIA TERPESONA MAGIS MELAKA