
SEMBOYAN 14 NOVEMBER: LANGKAH BAHARU BN-PN MENUJU PUTRAJAYA
TABOH NANING 12 November – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bukan sekadar medan menentukan siapa diberi mandat untuk mentadbir Seri Negeri, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada langkah lebih besar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersama rakan strategik dalam misi menuju Putrajaya.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, gelombang biru yang semakin dirasai menjelang hari pengundian pada 14 November ini berpotensi mencorakkan semula landskap dan mengubah dinamika politik negara.
Menurutnya, PRN Melaka kali ini membawa makna tersendiri kerana menjadi langkah pertama kepada usaha memperkukuh penyatuan dan kesepakatan antara BN, PN serta rakan strategik lain.
“Langkah pertama di Melaka tidak sama dengan langkah pertama di Johor, tidak sama dengan langkah pertama di Negeri Sembilan. PRN Melaka Ke-16 menjadi langkah pertama BN-PN menuju ke Putrajaya, ibu segala kuasa pemerintahan.
“Penyatuan dan kesatuan ini akan terus menjadi rakan paling rapat dan tidak mungkin lagi kita berpisah kerana kita mempunyai hala tuju yang sama iaitu menaungi dan melindungi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan ke DUN N.05 Taboh Naning di Bilik Gerakan DUN Taboh Naning, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon BN bagi kerusi DUN Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta wakil parti komponen BN dan PN.
Ab Rauf yang juga calon nombor dua bagi kerusi DUN N.02 Tanjung Bidara berkata, BN tidak pernah memandang mudah kemampuan calon parti lawan, malah bersedia menghadapi sebarang bentuk persaingan dalam PRN kali ini.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan keyakinan BN bersandarkan rekod gerak kerja yang telah dilaksanakan selama dua tahun enam bulan, bukannya usaha bermusim yang hanya muncul ketika tempoh berkempen.
“Namun kita sudah buat kerja sejak dua tahun enam bulan yang lalu, bukan dua minggu tempoh berkempen baru datang tanya macam-macam apa yang rakyat mahukan.
“Akhirnya kita berjaya meletakkan peranan kita dalam hati rakyat. Diharapkan walau dari mana sekalipun lawan kita ini datang, pada Sabtu ini kita pastikan DUN Taboh Naning, Masjid Tanah kekal biru,” katanya.
Dengan hari pengundian semakin hampir, Ab Rauf berharap sokongan rakyat terus memihak kepada BN bagi memastikan momentum gelombang biru dapat dipertahankan, sekali gus menjadikan Taboh Naning kekal sebagai kubu biru di kawasan Masjid Tanah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

