KERAJAAN TAWAR PEMBIAYAAN RM14,000 SEHEKTAR UNTUK TANAM SEMULA SAWIT

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER MOLEK 12 November – Pekebun kecil kelapa sawit persendirian yang mempunyai pokok berusia lebih 25 tahun digalakkan melaksanakan tanaman semula bagi meningkatkan produktiviti dan mengelakkan kemerosotan hasil.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pokok kelapa sawit yang semakin berusia lazimnya tumbuh lebih tinggi sehingga menyukarkan kerja penuaian, sekali gus boleh menjejaskan hasil pendapatan pekebun kecil.

Menurutnya, kerajaan menyediakan Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) bagi membantu meringankan beban kewangan pekebun kecil yang berdepan kos tinggi untuk melaksanakan proses berkenaan.

“Pokok sawit ini sebenarnya macam kita juga. Bila dah tua, tenaga pun dah kurang. Saya tahu, nak tanam semula bukan murah, kosnya besar. Lepas tanam, kena tunggu beberapa tahun pula baru pokok baharu berbuah.

“Sebab itulah kerajaan sediakan Skim TSPKS 2.0. Pekebun kecil di Semenanjung boleh mendapat pembiayaan sampai RM14,000 sehektar. Separuh daripadanya geran, separuh lagi pinjaman dengan kadar keuntungan rendah iaitu dua peratus setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Salam Agrikomoditi MADANI @ Ayer Molek di padang Maahad Ar Rahmah, Kampung Solok Gaong, di sini, pada Rabu.

Noraini berkata, kemudahan pembiayaan itu dikhususkan kepada pekebun kecil persendirian yang memiliki keluasan tanah tanaman sawit 10 hektar dan ke bawah.

Jelas beliau, di Melaka, sebanyak 142 permohonan pekebun kecil telah diluluskan menerusi skim berkenaan sejak 2024.

Beliau turut mengingatkan pekebun kecil supaya menggunakan benih sawit yang diiktiraf serta mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) selepas penanaman bagi memastikan pokok baharu dapat membesar secara optimum.

“Antara amalan yang perlu diberi perhatian termasuk mematuhi jadual pembajaan, mengawal pertumbuhan rumpai dan memastikan hanya buah sawit yang benar-benar masak dituai bagi menjamin produktiviti tanaman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

93
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KERJASAMA BN-PN DI LENDU, PENYATUAN TANPA PINGGIR KAUM LAIN