
PRN MELAKA: MELAKA PERLU JADI PENCETUS GELOMBANG BN-PN KE PUTRAJAYA – AHMAD MARZUK
SERKAM 12 November – Melaka perlu menjadi pencetus kepada gelombang kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat nasional dengan menolak Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 14 November ini.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary berkata, pengundi Melaka perlu memainkan peranan penting dengan menjadikan keputusan PRN kali ini sebagai isyarat awal perubahan landskap politik negara.
Beliau berkata, kemenangan gabungan BN-PN di Melaka bukan sahaja penting untuk membuktikan penolakan terhadap PH, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan kerjasama kedua-dua parti itu ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Orang Melaka mesti menjadi guru kepada rakyat seluruh negara kerana pilihan raya tidak lama lagi.
“Tunjukkan bagaimana orang Melaka menolak PH dan daripada semangat itu, insya-Allah kita bawa kemenangan di Melaka untuk diperluaskan ke Putrajaya tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada Ceramah Gelombang Biru di Balai Islam Serkam Darat, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah.
Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, sambutan positif terhadap kerjasama BN dan PN di Melaka menunjukkan kesepakatan kedua-dua parti itu semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat.
“Ini menunjukkan penyatuan BN dan PN sangat dikehendaki serta dirindui rakyat Melaka khususnya dan seluruh negara amnya.
“Orang semakin sayang kepada kerjasama ini, khususnya orang Melayu. Sebab itu kita perlu teruskan kerana kita tahu dalam negara ini, walaupun kita mewakili majoriti sokongan, jika berpecah, peluang untuk menang akan hilang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

