
PRN MELAKA: ‘TEKAD KELUARGA REMBIA’ JADI TAWARAN AZRIL
REMBIA 12 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz mempertaruhkan gagasan ‘Tekad Keluarga Rembia’ sebagai tawaran untuk memperkukuh pembangunan, ekonomi dan kesejahteraan penduduk di kawasan itu.
Beliau berkata, gagasan berkenaan dirangka berdasarkan keperluan masyarakat setempat yang mahukan persekitaran lebih kondusif, ekonomi keluarga yang kukuh serta kebajikan setiap lapisan penduduk terus terbela.
“Ini bukan sekadar sebuah dokumen manifesto. Ini merupakan satu gagasan pembangunan yang mengambil kira keperluan masyarakat daripada pelbagai lapisan dan peringkat kehidupan,” katanya ketika berucap memperkenalkan tawaran berkenaan.
Mengangkat slogan ‘Semarak Rembia, Keluarga Kita’, Azril menggariskan enam teras utama yang merangkumi pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, kebajikan, pendidikan, pembangunan belia, kerohanian serta pengukuhan ekonomi tempatan.
Menerusi teras infrastruktur dan kemudahan awam, beliau memberi penekanan kepada usaha penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan penduduk menikmati persekitaran yang lebih selesa dan kondusif.
Bagi aspek kebajikan pula, beliau mahu perhatian diberikan kepada setiap lapisan keluarga yang memerlukan, termasuk ketika berdepan peristiwa penting dalam kehidupan.
“Saya mahu kebajikan setiap lapisan keluarga diberikan perhatian, daripada kelahiran cahaya mata baharu sehinggalah ketika keluarga berhadapan kehilangan insan tersayang,” katanya.
Dalam usaha membina generasi pelapis, teras pendidikan dan pembangunan belia pula memberi tumpuan kepada peluang pembelajaran berterusan untuk anak-anak Rembia, selain menyediakan ruang lebih luas kepada golongan muda untuk berkarya, bersukan dan membina jati diri.
Azril turut memberi perhatian kepada pembangunan kerohanian menerusi inisiatif Kelas Mengaji Keluarga Rembia bagi memastikan pembangunan fizikal masyarakat bergerak seiring dengan pengukuhan nilai agama dan rohani.
Sementara itu, beliau berkata teras ekonomi tempatan memberi fokus kepada usaha memperluas peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran serta mengembangkan potensi penduduk agar mereka turut menikmati manfaat pembangunan ekonomi dan industri di kawasan berkenaan.
“Kita mahu memperluas peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Rembia dengan membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran, mengembangkan potensi diri serta menikmati manfaat pembangunan ekonomi serta industri setempat,” katanya.
Menyedari pelaksanaan setiap perancangan memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak, calon nombor 2 itu menyeru penduduk DUN Rembia supaya bersama-sama membina komuniti yang bersatu berteraskan semangat kekeluargaan.
“Saya sedar bahawa setiap perancangan memerlukan usaha, kerjasama dan pelaksanaan yang tersusun. Saya mahu kita membangunkan Rembia sebagai sebuah keluarga. Sebuah keluarga yang saling menjaga, saling membantu dan bergerak maju bersama-sama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

