
15 TAHUN TIDAK JEJAK ZOO MELAKA, IBU BAWA ENAM ANAK GAMIT KENANGAN LALU
AYER KEROH 2 September – Selepas 15 tahun tidak menjejakkan kaki ke Zoo Melaka seorang pengunjung mengambil kesempatan pada kemasukan percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sebagai peluang untuk ‘recreate’ semula kenangan bersama enam anaknya yang kini semakin menginjak dewasa.
Bagi Dewi Afilia Imzan Ali,53, berkata, kunjungan bersama keluarganya ke Zoo Melaka bukan sekadar mengisi cuti umum sebaliknya menjadi momen bermakna buat seorang ibu yang mahu mengabadikan masa bersama anak-anak sebelum mereka masing-masing melangkah ke fasa kehidupan baharu.
Katanya, kali terakhir dia membawa anak-anak berkunjung ke Zoo Melaka adalah kira-kira 15 tahun lalu ketika mereka masih kecil justeru peluang yang ada menerusi kemasukan percuma itu dimanfaatkan untuk mengulangi semula kenangan tersebut dalam versi yang berbeza.
“Dulu saya datang dengan anak-anak ketika mereka masih kecil sekarang semuanya sudah besar. Jadi apabila ada peluang masuk percuma, saya terfikir apa salahnya kita datang semula dan recreate kenangan lama dan abadikan kenangan bergambar bersama.
“Kalau dahulu anak-anak kecil dan saya yang menjaga mereka sepanjang berada di Zoo Melaka, hari ini dapat lihat mereka sudah dewasa dan boleh berjalan bersama-sama sebagai satu keluarga, mereka pula yang bimbing saya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Berkongsi rasa, ibu enam anak itu menyifatkan inisiatif yang diberikan Kerajaan Negeri untuk kemasukan percuma itu benar-benar memberi impak kepada golongan sepertinya.
Tambahnya, kunjungan selepas 15 tahun itu seolah-olah membawa keluarganya kembali ke satu babak lama dan menerusi kemasukan percuma itu secara tidak langsung memberi ruang kepada keluarganya mencipta satu lagi kenangan bersama.
“Anak-anak semakin menginjak dewasa, tidak lama lagi mungkin ada yang berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri jadi sekarang inilah masa untuk kita kumpul dan luangkan masa bersama.
“Bukan selalu kita dapat peluang untuk semua anak ada dan keluar bersama seperti ini. Sebab itu saya rasa inisiatif kemasukan percuma sempena Hari Kebangsaan ini sangat istimewa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

