DARI KELAS KHAS, SAMSUDDIN KINI MAMPU BERDIKARI, ADA PENDAPATAN SENDIRI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TABOH NANING 2 September – Titipan doa dan kata-kata semangat yang tidak pernah putus daripada ibunya menyuntik semangat dalam diri Muhammad Samsuddin Mohd Din, 31, iaitu orang kurang upaya (OKU) intelektual untuk berdikari dan membina kehidupan sendiri.

Kini Muhammad Samsuddin bukan sahaja mampu menguruskan diri malah mempunyai pendapatan bulanan sendiri apabila diterima bekerja sebagai kakitangan pembersihan oleh SWM Environment Sdn Bhd sejak hampir dua tahun lalu.

Ibunya, Fatimah Karim, 60, berkata kecekalan dan perubahan ditunjukkan anak keempat dari lima beradik itu amat membanggakan dirinya dan keluarga.

“Muhammad Samsuddin dikenal pasti mempunyai masalah pembelajaran ketika berusia sembilan tahun, dia agak perlahan untuk menerima apa yang diajar oleh guru. Sementara itu hasil pemeriksaan kesihatan pula doktor memaklumkan tahap pemikiran anak saya ketika itu seperti kanak-kanak berusia enam tahun.

“Susulan itu Muhammad Samsuddin ditukarkan ke kelas khas, namun saya tidak abaikan aspek pendidikan anak, dia tetap menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Terdahulu Muhammad Samsuddin menerima sumbangan kit makanan dan kad OKU baharu pada Program Ziarah Kasih sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning di Kampung Padang Melekek Luar di sini, semalam.

Sumbangan itu disampaikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Menurut Fatimah, Muhammad Samsuddin kini tinggal seorang diri rumah keluarganya di kampung berkenaan, namun beberapa saudara menetap berhampiran kerap singgah bertanyakan khabar anaknya itu.

“Sekarang saya tinggal di Kuala Lumpur dan pulang ke Melaka setiap dua atau tiga bulan bagi menjenguk anak, selain saudara terdekat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka turut memantau Muhammad Samsuddin dari semasa ke semasa,” katanya.

Muhammad Samsuddin turut menerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) sebanyak RM450 sebulan sejak 2024 sebagai galakan untuk terus bekerja dan berdikari.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa membantu golongan yang memerlukan, khususnya anak saya. Alhamdulillah, bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

255
Kongsi :
Previous post 15 TAHUN TIDAK JEJAK ZOO MELAKA, IBU BAWA ENAM ANAK GAMIT KENANGAN LALU
Next post WRUR TABOH NANING: KAJIAN DALAMKAN SUNGAI BRISU, IKHTIAR ATASI BANJIR