WRUR TABOH NANING: KAJIAN DALAMKAN SUNGAI BRISU, IKHTIAR ATASI BANJIR

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TABOH NANING 2 September – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka diminta untuk melakukan kajian bagi mengatasi banjir akibat limpahan air Sungai Brisu, setiap kali berlaku hujan lebat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, antara lokasi kerap terjejas akibat limpahan air sungai berkenaan adalah Masjid Dahariyah Kampung Brisu dan tiga kediaman di Kampung Padang Kambing.

Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, kesemua lokasi berkenaan amat terdedah kepada risiko banjir berulang  kerana terletak berhampiran dengan tebing sungai.

“Kali ini saya bersama wakil JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turun padang untuk meninjau sendiri lokasi terjejas banjir, mendengar cadangan daripada penduduk dan memikirkan penyelesaian secara bersama.

“Kita juga mengambil kira cadangan daripada penduduk iaitu pembinaan tembok tambahan di Masjid Dahariyah bagi mengelakkan aliran limpahan air sungai membanjiri kawasan luar dan dalam masjid,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika turun padang meninjau lokasi banjir di Masjid Dahariyah Kampung Brisu dan Kampung Padang Kambing sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, hari ini.

Menurutnya, tembok bagi mengurangkan risiko banjir juga sudah dibina disekeliling masjid berkenaan, namun berdasarkan kejadian bencana sama sebelum ini perancangan baharu perlu dirangka bagi mencari penyelesaian jangka masa panjang.

“Pada kejadian banjir sebelum ini air masuk melalui  bahagian depan masjid,  jadi memang ada keperluan untuk  lakukan kajian dan cari jalan penyelesaian termasuk bina tembok serta mendalamkan sungai ini.

“Bencana banjir bukan sahaja membantutkan urusan ibadat umat Islam sekitar tetapi turut menjejaskan aktiviti pembelajaran lebih 60 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kampung Brisu yang terletak bersebelahan Masjid Dahariyah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

281
Kongsi :
Previous post DARI KELAS KHAS, SAMSUDDIN KINI MAMPU BERDIKARI, ADA PENDAPATAN SENDIRI
Next post WRUR TABOH NANING: 2 LOKASI KERAP KEMALANGAN DIPASANG ‘SPEED BREAKER’