151 MENARA MELAKA DILENGKAPI GENTIAN OPTIK SEPANJANG 200KM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERI NEGERI 27 Ogos – Kerajaan Negeri menerusi Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH) bakal melengkapkan 151 menara telekomunikasi dengan sambungan gentian optik sepanjang 200 kilometer menerusi kerjasama strategik bersama Maxis Berhad.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan berkenaan membabitkan pelaburan bernilai kira-kira RM30 juta sebagai langkah memperkukuh kapasiti dan kestabilan rangkaian digital di seluruh negeri.

Menurutnya, kerjasama itu menyasarkan peningkatan kadar menara telekomunikasi MICTH yang dilengkapi sambungan gentian optik sebagai rangkaian backhaul utama daripada 40 peratus kepada 80 peratus.

“Pada masa ini, sekitar 40 peratus daripada menara telekomunikasi milik MICTH telah dilengkapi dengan sambungan gentian optik sebagai rangkaian backhaul utama.

“Melalui kolaborasi bersama Maxis ini, kita menyasarkan kadar tersebut dapat ditingkatkan kepada 80 peratus, sekali gus menggandakan jumlah menara MICTH yang menggunakan sambungan gentian optik berkapasiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama Strategik: Fiberisasi Menara Telekomunikasi Bagi Memacu Transformasi Digital di Seluruh Negeri Melaka antara MICTH dan Maxis Berhad di Bilik Tun Bijasura, Pejabat Ketua Menteri, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Pegawai Eksekutif MICTH Dr. Nazdiana Ab Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Berhad Goh Seow Eng serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, setakat ini liputan 4G di kawasan berpenduduk di Melaka telah mencapai 100 peratus, manakala liputan 5G pula berada pada tahap 89.9 peratus.

Katanya, liputan rangkaian yang luas perlu disokong dengan kapasiti yang kukuh bagi memastikan rakyat mendapat akses internet yang lebih pantas dan stabil.

“Kerajaan Negeri Melaka telah menetapkan hala tuju yang jelas iaitu kita tidak mahu sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mahu menyediakan ekosistem yang membolehkan teknologi berkembang dan memberi nilai tambah kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata, pengukuhan infrastruktur gentian optik itu turut menjadi asas kepada usaha Melaka mewujudkan ‘Lebuh Raya Digital’ pertama di Malaysia, sekali gus menyokong perkembangan ekonomi digital, pelaburan dan penggunaan teknologi baharu di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post INISIATIF KAMPUNG DIGITAL 2.0 DIPERLUAS KE SELURUH MELAKA
Next post 2,500 TOPI KELEDAR ‘LIMITED EDITION’ UNTUK PENGUJUNG BERTUAH KARNIVAL ANAK MUDA MELAKA