Nelayan lega bumbung balai bocor dibaiki

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

Nelayan lega menikmati balai sempurna

PANTAI KUNDOR 1 Feb. – Balai Nelayan Kampung Pantai Jaring, Tanjung Kling kini berwajah baru dengan penggantian bumbung baharu hari ini.

Kerja pembaikan bumbung yang 80 peratus sudah reput dan bocor itu dilakukan melalui konsep gotong-royong dalam kalangan 20 nelayan yang beroperasi di balai itu.

Sekali gus usaha itu akan memberi keselesaan kepada mereka untuk menjalankan aktiviti termasuk menyirat atau membaiki jaring, menyelenggara enjin bot sangkut dan menjual ikan.

Nelayan terbabit ketika ditemui berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menyediakan peruntukan RM5,000 untuk baik pulih balai itu.

Abdul Aziz menjelaskan balai itu turut dijadikan tempat beristirahat selepas nelayan menangkap ikan.

Nelayan, Ali Zainol, 59, berkata mereka tidak sanggup lagi memasang kanvas di tempat menyirat jaring setiap kali hujan lebat dan angin kencang dari laut melanda.

“Balai nelayan ini dibina lebih 15 tahun lalu dan sekarang bumbungnya sudah uzur tetapi tiang dan lantai masih kukuh.

“Setiap kali hujan lebat, kerja menyirat jaring dan menjual ikan tergendala akibat ditimpa hujan dari atap bocor dan kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk (Nor Azman) yang sudi membantu,” katanya ditemui di balai nelayan itu.

Abdul Aziz Yahaya, 59, berkata balai itu bukan setakat menyediakan kemudahan untuk nelayan menyirat jaring dan menjual ikan, malah sebagai tempat mereka beristirahat selepas penat menangkap ikan.

“Alhamdulillah, kami bergotong-royong menyiapkan kerja memasang besi ‘T Section’ sebagai galang bumbung sebelum memasang bumbung adec,” katanya.

Sementara itu, Nor Azman berharap pemasangan bumbung baru itu membolehkan nelayan membuat kerja berkenaan dengan sempurna.

“Saya meminta mereka bergotong-royong memasang bumbung selepas musim hujan berakhir dan musim angin barat, iaitu angin kencang dari arah laut sudah tiada dan digantikan dengan angin betara atau angin darat yang kering,” katanya.

Views:

990
Kongsi :
Previous post Syukur dapat tatap wajah Zubaidi Amir kali terakhir
Next post ‘Adik’ selamat dikebumikan di Simpang Bekoh, Jasin
Ubah saiz-+=