Sorting by

×

2 JIWA 1 HATI SATUKAN 4,000 RAKYAT, TENTERA DALAM SUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SUNGAI UDANG 18 Julai – Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati menjadi medan penyatuan kira-kira 4,000 peserta daripada pelbagai latar belakang bermula 18 hingga 26 Julai ini.

Kejohanan itu menghimpunkan penyertaan daripada Japerun, pelajar, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) serta warga tentera dalam usaha memperkukuh hubungan antara masyarakat awam dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi sukan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kepelbagaian peserta terlibat mencerminkan semangat kebersamaan yang ingin diterapkan menerusi kejohanan yang sudah memasuki edisi kedua itu.

“Ini adalah jambatan antara masyarakat yang menghubungkan generasi muda dengan golongan dewasa serta merapatkan jurang antara komuniti awam dengan warga tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di Dataran Parawood, Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Panglima 3 Divisyen Kem Terendak Mejar Jeneral Sani S. Omar serta Panglima 10 Briged Para Mejar Jeneral Datuk Khairul Anwar Soib.

Menurut Ketua Menteri, nama 2 Jiwa 1 Hati membawa mesej besar kerana walaupun peserta datang daripada pelbagai organisasi dan generasi, mereka tetap bergerak sebagai satu pasukan.

“Saya mahu semua peserta memanfaatkan 19 acara sukan dipertandingkan sebagai medium mengeratkan silaturahim, memupuk disiplin serta menyemai semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat dan warga tentera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

445
Kongsi :
Previous post SUKAN JADI TRADISI BAHARU SATUKAN KELUARGA BESAR MELAKA – KM
Next post PIALA KETUA MENTERI LAMBANG PENGHARGAAN BUAT WIRA MELAKA