
PIALA KETUA MENTERI LAMBANG PENGHARGAAN BUAT WIRA MELAKA
SUNGAI UDANG 18 Julai – Sebanyak 16 pasukan badan beruniform termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal berentap dalam Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2026 pada 27 Julai hingga 1 Ogos depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejohanan itu mencerminkan semangat kebersamaan antara pasukan yang memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan kebajikan rakyat.
“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan sukan, malah penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa serta pengorbanan anggota badan beruniform yang sentiasa berada di barisan hadapan ketika rakyat berdepan kecemasan dan bencana.
“Maka gelanggang kejohanan ini menjadi manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan, di samping mengeratkan hubungan antara pasukan.
“Lebih bermakna, perebutan Piala Ketua Menteri Melaka bukan sekadar membawa prestij kepada pasukan yang menang tetapi melambangkan disiplin dan semangat juang tinggi yang menjadi identiti seluruh warga badan beruniform,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di Dataran Parawood, Kem Terendak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Panglima 3 Divisyen Kem Terendak Mejar Jeneral Sani S. Omar serta Panglima 10 Briged Para Mejar Jeneral Datuk Khairul Anwar Soib.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata beliau mahu kejohanan itu menjadi medan memupuk persaudaraan dan semangat kesukanan dalam kalangan anggota badan beruniform, selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Biarlah piala menjadi buruan di gelanggang, tetapi persaudaraan menjadi kemenangan terbesar dalam kejohanan ini. Sama-sama kita nantikan pasukan yang akan menjulang Piala Ketua Menteri Melaka pada 1 Ogos nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

