
SUNGAI MELAKA BAKAL PECAH DUA REKOD BAHARU
DUYONG 19 Julai – Selepas mencipta rekod penghasilan 50,000 kuih onde-onde tahun lalu, Sungai Melaka sekali lagi bakal menjadi pentas bersejarah apabila dua lagi rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) akan cuba dipecahkan menerusi penganjuran Festival Sungai Melaka 2026 peringkat daerah Melaka Tengah.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, dua rekod itu melibatkan penghasilan 10,000 kuih keria serta mencipta replika Konda Kondi terbesar.
Menurutnya, pemilihan kuih keria dibuat kerana ia merupakan antara makanan tradisi yang cukup sinonim dengan Melaka dan menjadi tarikan pelancong dari dalam serta luar negara.
“Manakala rekod kedua pula membabitkan penghasilan replika Konda Kondi terbesar menerusi kerjasama PPSPM bersama syarikat Nuhae.
“Sama seperti kuih keria, Konda Kondi merupakan permainan tradisional popular suatu masa dahulu dan kini Kerajaan Negeri telah mengangkat martabatnya dengan memperkenalkan Konda Kondi alaf baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran di Podcast Festival Sungai Melaka 2026 dikendalikan Melaka Hari Ini dan turut bersama Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM Khairunisa Ibno Masooda.
Katanya, kedua-dua rekod itu juga bakal disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang akan turut menyempurnakan hadiah utama Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar Sungai Melaka, hari ini.
Menurut Shaharul Azuar, dianggarkan 1,000 kaki pancing akan berentap pada pertandingan memancing tersebut yang menawarkan hadiah wang tunai hingga tempat ke-80 dan juara bakal membawa pulang RM10,000.
Selain itu, peserta juga berpeluang memenangi 100 hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal elektrik
“Kita menjemput orang ramai untuk bersama memeriahkan festival ini yang bukan hanya berlangsung hujung minggu ini sahaja, bahkan akan diteruskan di daerah Jasin dan Alor Gajah pada Ogos dan September depan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


