
MELAKA REKOD 277 KES KEMALANGAN TEMPAT KERJA
AYER KEROH 19 Julai – Melaka merekodkan sebanyak 277 kes kemalangan di tempat kerja setakat Januari hingga Jun tahun ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Melaka Ramesh Zakir Shamsul.
Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, kes yang dilaporkan adalah kemalangan membabitkan kematian, kecederaan kekal dan tidak kekal.
“Bagi kecederaan kekal, ia melibatkan keadaan seperti kehilangan sebahagian anggota badan, manakala kecederaan tidak kekal membabitkan kecederaan yang tidak menyebabkan kecacatan berpanjangan.
“Buat masa ini, terdapat tiga kes maut dilaporkan iaitu dua dalam sektor pembinaan kejuruteraan dan satu dalam sektor perkilangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran MBMB, di sini, semalam.
Majlis itu telah dirasmikan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut bersama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Menurut Ramesh, setiap kemalangan yang dilaporkan akan disiasat pihaknya mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha memperkukuhkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ini bukan sahaja tanggungjawab kita, tetapi banyak badan seperti MBMB yang turut memainkan peranan penting dengan menganjurkan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).
“Ia bukan usaha seorang sahaja atau ‘one man show’, sebaliknya pelbagai pihak perlu bersama memperbanyakkan aktiviti berkaitan keselamatan, khususnya di tempat kerja,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


