
MELAKA BUKA PERMOHONAN INSENTIF KHAS PELANCONGAN, TAWAR DANA SEHINGGA RM10,000
SERI NEGERI 19 Julai – Persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan pelancongan, seni, warisan dan budaya di negeri ini boleh memohon insentif khas di bawah skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) pelancongan bagi menganjurkan pelbagai program berimpak.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad berkata, permohonon insentif itu dibuka sehingga penghujung Oktober depan dengan menawarkan bantuan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000.
Jelas beliau, setiap permohonan perlu disertakan dengan borang permohonan, surat iringan dan kertas kerja lengkap mengenai program atau aktiviti yang ingin dilaksanakan.
“Semua permohonan akan dinilai oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, di mana ia akan dinilai berdasarkan kertas kerja dan program yang dicadangkan.
“Hanya persatuan yang memenuhi syarat iaitu berkait dengan pelancongan serta mempunyai cadangan program yang bersesuaian dan memberi impak kepada negeri akan dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif Khas Kepada Persatuan dan NGO Pelancongan, Seni, Warisan dan Budaya Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pejabat Ketua Menteri, di sini, pada Khamis.
Menurut Nasrul, insentif tersebut merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi memperkasakan peranan persatuan dan NGO sebagai rakan strategik dalam menyokong pelaksanaan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM150,000 daripada sebuah syarikat jenama fesyen bertaraf dunia.
Katanya, sumbangan itu melibatkan sumbangan wang tunai berjumlah RM50,000 kepada Tabung Amanah Pelancongan Negeri Melaka, manakala baki RM100,000 adalah berbentuk barangan.
“Barangan yang disumbangkan akan digunakan sebagai hadiah bagi pelbagai program dan acara pelancongan anjuran Kerajaan Negeri.
“Kami amat menghargai sokongan diberikan dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat untuk bersama Kerajaan Negeri memperkasa sektor pelancongan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


