Sorting by

×

MBMB PBT PERTAMA LANCAR GARIS PANDUAN PROSEDUR KECEMASAN LUAR TAPAK

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Melaka terus mengorak langkah ke hadapan dalam usaha memperkasa aspek keselamatan dan kesihatan pekerja apabila menjadi yang pertama melancarkan Garis Panduan Prosedur Kesiapsiagaan dan Tindakan Kecemasan Luar Tapak.

Inisiatif itu diperkenalkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan buku garis panduan berkenaan telah dilancarkan secara rasmi pada Majlis Perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat MBMB di Dataran MBMB, di sini, semalam.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, buku itu dihasilkan melalui kerjasama antara MBMB dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP).

“Prosedur ini diperkenalkan sebagai garis panduan kepada semua pihak agar sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau kecemasan di luar tapak, mereka memahami peranan serta tindakan yang perlu diambil.

“Ini merupakan garis panduan prosedur yang pertama di Malaysia dan saya difahamkan oleh pihak JKKP mungkin ada beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain yang akan mencontohi untuk melaksanakan prosedur di luar tapak seperti ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak kementerian dan juga semua pemegang taruh di bawah pentadbiran MBMB kerana selama ini dapat bekerjasama dengan kami untuk melaksanakan segala aktiviti kesihatan dan juga keselamatan pekerjaan di luar tapak,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian tersebut.

Terdahulu, Majlis Perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat MBMB itu telah disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut bersama, Pengarah JKKP Negeri Melaka Ramesh Zakir Shamsul.

Mengulas lanjut, Datuk Shadan berkata, buku berkenaan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan turut melibatkan sekitar enam pemegang taruh bagi memastikan prosedur yang dibangunkan efisien dan teratur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

585
Kongsi :
Previous post MELAKA BUKA PERMOHONAN INSENTIF KHAS PELANCONGAN, TAWAR DANA SEHINGGA RM10,000
Next post KEMESRAAN TOK RAUF TAWAN HATI WARGA SMK TUN SYED ZAHIRUDDIN