
KEMESRAAN TOK RAUF TAWAN HATI WARGA SMK TUN SYED ZAHIRUDDIN
MERLIMAU 19 Julai – Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin gamat dengan sorakan daripada pelajarnya yang teruja apabila menerima kunjungan tetamu istimewa iaitu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Lawatan Ketua Menteri ke SMK Tun Syed Zahiruddin adalah untuk merasmikan mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ yang kini menghiasi dinding bangunan sekolah berkenaan bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, pada Jumaat.
Bagi Puteri Siti Nuraini Mohd Faizal, 19, peluang berjumpa Ketua Menteri dianggap sabagai momen yang amat bermakna buat dirinya dan semua warga sekolah berkenaan.
“Lebih membanggakan kerana saya adalah salah seorang daripada pelajar yang terlibat secara langsung dalam menyiapkan mural sekolah kami. Kesudian Ketua Menteri merasmikan dan menurunkan tanda tangan pada mural berkenaan membuktikan beliau amat menghargai usaha kecil kami dalam memartabatkan semula kegemilangan sejarah Negeri Melaka.
“Apabila dapat berjumpa secara berhadapan, Ketua Menteri sebenarnya adalah seorang yang mudah didampingi, ‘sporting’ dan amat mesra dengan orang muda,” katanya kepada Melaka Hari ini.
Sementara itu rakannya Nur Hidayah Binti Mohd Najib, 19, berkata, Ketua Menteri dianggap sebagai seorang pemimpin yang peramah, cakna dan prihatin terhadap kesukaran ditempuh oleh rakyat Melaka.
“Biasanya saya cuma lihat Ketua Menteri menerusi kandungan dikongsi di media sosial, inisiatif jelajah dilaksanakan adalah cerminan kepada sikap prihatin Ketua Menteri, beliau menggunakan medium yang kreatif untuk mendekati serta menyantuni rakyat pelbagai lapisan usia.
“Bukan rakyat yang cari Ketua Menteri, tetapi Ketua Menteri sendiri yang turun padang untuk bertanyakan masalah dan menyantuni rakyat,” katanya.
Manakala Pengetua SMK Tun Syed Zahiruddin EllyDarliza Bakar berkata, lawatan Ketua Menteri turut membawa khabar gembira apabila pihaknya menerima sumbangan bagi membiayai pelbagai program dan inisiatif yang memberikan manfaat khususnya buat pelajar.
“Sumbangan ini juga amat membantu dalam usaha pihak sekolah menjaga kebajikan pelajar kurang berkemampuan termasuk dengan melaksanakan program makanan percuma. Selain itu kami juga menyatakan hasrat secara terus kepada Ketua Menteri bagi permohonan mendapatkan kemudahan laluan pejalan kaki berbumbung (susur gajah) dan alat bantuan pembelajaran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


