Sorting by

×

LADANG ROCK MELON, HALIA, BAWANG BUKA PELUANG B40 JANA PENDAPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

MERLIMAU 19 Julai – Operasi Ladang Rock Melon, Halia & Bawang, Merlimau Pantai bukan sahaja menjadi pemangkin perkembangan ekonomi setempat, sebaliknya boleh dimanfaatkan sebagai medium untuk meningkatkan pendapatan khusus bagi golongan B40.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib berkata, ladang seluas 30 ekar (12.1 hektar) itu adalah projek dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd dan Syarikat KMK Agro Global.

Katanya, ladang berkenaan dibahagikan kepada tiga jenis tanaman iaitu rock melon (4 hektar), halia (4 hektar) dan bawang (hektar).

“Selain menjadi pusat pengeluaran makanan kita juga membuka peluang kepada mereka berminat khusus orang muda untuk datang belajar seterusnya menguasai kaedah mengusahakan tanaman rock melon yang sebenarnya menawarkan pulangan amat menguntungkan.

“Setakat ini kita ada 50 pekerja tempatan, apabila sudah mahir dan ada keinginan untuk usahakan sendiri kita akan bantu mereka. Permintaan untuk rock melon amat tinggi dan tidak pernah putus, sehubungan itu kita amat menggalakkan penyertaan lebih ramai orang muda dalam bidang pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan perasmian ladang berkenaan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, semalam.

Hadir sama Exco Pelancongan Warisan dan Pelancongan negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Pengerusi Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Yang turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Rozli berkata, ladang berkenaan disasar mampu mengeluarkan antara 70 hingga 80 tan rock melon setahun, sementara itu bagi halia dan bawang pula sekitar 100 ke 120 tan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

624
Kongsi :
Previous post KEMESRAAN TOK RAUF TAWAN HATI WARGA SMK TUN SYED ZAHIRUDDIN
Next post INSENTIF KHAS SUNTIK SEMANGAT PENGGIAT PELANCONGAN MELAKA