
INSENTIF KHAS SUNTIK SEMANGAT PENGGIAT PELANCONGAN MELAKA
SERI NEGERI 19 Julai – Pemberian Insentif Khas Kepada Persatuan dan NGO Pelancongan, Seni, Warisan dan Budaya Negeri Melaka disifatkan sebagai suntikan semangat kepada penggiat industri pelancongan untuk terus memperkukuh promosi dan merancakkan lagi sektor berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Negeri Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas keprihatinan dalam membantu persatuan dan NGO yang menjadi antara pemangkin utama pembangunan pelancongan di Melaka.
Menurut beliau, insentif yang disalurkan itu akan membantu persatuan menggerakkan pelbagai program dan aktiviti bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Saya mewakili rakan-rakan penggiat industri pelancongan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, khususnya Ketua Menteri dan Exco Pelancongan atas pemberian insentif khas ini.
“Sesungguhnya dengan adanya bantuan ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu persatuan menggerakkan pelbagai aktiviti dan program dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di Melaka,” katanya ketika kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Negeri Melaka merancang menggunakan sebahagian daripada insentif itu bagi mempergiatkan usaha promosi produk pelancongan berasaskan komuniti.
Katanya, antara perancangan yang akan dilaksanakan ialah penghasilan bahan promosi dan risalah pelancongan untuk diedarkan kepada pengunjung yang menginap di homestay dan kampungstay di seluruh negeri.
“Usaha ini penting bagi memperkenalkan produk pelancongan tempatan serta menarik lebih ramai pelancong untuk meneroka pelbagai destinasi dan aktiviti menarik yang terdapat di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


