
PENGIKTIRAFAN MBOR, PERKUKUH ‘JENAMA’ PELANCONGAN MELAKA
BANDARAYA MELAKA 19 Julai – Festival Sungai Melaka 2026 merekodkan kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan Replika Konda Kondi Terbesar, sekali gus membantu memperkukuhkan lagi sektor pelancongan Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengiktirafan terbaharu diterima itu menjadikan sektor pelancongan Melaka telah meraih keseluruhan empat pengiktirafan MBOR dalam tempoh tiga tahun pentadbiran beliau.
Ab Rauf berkata, pengiktirafan itu membuktikan Melaka terus tampil dengan idea kreatif dan berimpak tinggi dalam memperkukuh sektor pelancongan berasaskan warisan serta budaya tempatan.
“Pengiktirafan ini cukup dekat dengan identiti kita kerana konda kondi mengigatkan kita kepada permainan tradisional yang pernah menceriakan halaman rumah serta kampung suatu ketika dahulu.
“Inilah kekuatan sebenar Melaka. Negeri kita mungkin kecil daripada segi keluasan tetapi sejarahnya besar, warisannya kaya dan rakyatnya pula sentiasa mempunyai keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Biarlah pengiktirafan ini menjadi pencetus kepada lebih banyak idea, produk dan program baharu yang boleh menarik pelancong dan memanjangkan tempoh mereka berada di Melaka selain memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) Dan Hadiah Pemenang Sempena Festival Sungai Melaka 2026 di Dataran Pengkalan Rama, hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM, Khairunnisa Ibno Masooda Khairunnisa Ibno Masooda.
Menurut Ketua Menteri, Festival Sungai Melaka tahun ini menampilkan lebih 30 program dan buat pertama kalinya dilaksanakan merentas tiga daerah membabitkan Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Festival Sungai Melaka 2026 cukup istimewa apabila Kerajaan Negeri menerima pengiktirafan MBOR yang mana pertemuan ini juga bukan sekadar majlis menyampaikan sijil atau hadiah sebaliknya menyaksikan bagaimana Sungai Melaka terus menjadi ruang menyatukan sejarah pelancongan, ekonomi, reakrasi serta kehidupan masyarakat.
“Festival ini telah memasuki edisi ke-17 dan ia bukan sekadar acara tahunan sebaliknya platform untuk memperkenalkan keunikan Sungai Melaka kepada dunia,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, Ketua Menteri mewakili Kerajaan Negeri menerima sijil pengiktirafan MBOR bagi kategori “Replika Konda Kondi Terbesar” (3 meter x 6 meter) yang dihasilkan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


