Sorting by

×

PERTANDINGAN MEMANCING FESTIVAL SUNGAI MELAKA LEBIH ‘GAH’ TAHUN HADAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Julai – Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) akan meneruskan penganjuran Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar pada tahun hadapan dalam skala lebih besar susulan sambutan amat menggalakkan diterima pada Festival Sungai Melaka 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan pertandingan itu membuktikan aktiviti rekreasi bukan hanya mampu menjadi tarikan pelancongan malah merancakkan ekonomi setempat menerusi kehadiran peserta dan pengunjung dari dalam serta luar negeri.

Katanya, bersempena Festival Sungai Melaka 2026 seramai 1,123 orang pemancing telah mengambil bahagian dengan hadiah keseluruhan ditawarkan berjumlah RM30,000.

“Sambutan ini menunjukkan bahawah aktiviti memancing mempunyai komuniti dan peminatnya yang tersendiri selain berpotensi dikembangkan sebagai satu lagi produk pelancongan berasaskan acara di Melaka.

“Melihat sambutan luar biasa diterima, pertandingan ini tidak boleh berhenti di sini sahaja.

“Justeru itu pada tahun hadapan kita akan anjurkan sekali lagi pertandingan memancing ini dalam skala lebih besar, meriah dan hadiah yang menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) Dan Hadiah Pemenang Sempena Festival Sungai Melaka 2026 di Dataran Pengkalan Rama, hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat serta Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris.

Menurut Ketua Menteri, penganjuran pertandingan memancing bukan sekadar medan pertandingan sebaliknya turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Paling utama, ini bukan hanya tentang pertandingan sebaliknya apabila ramai peserta dan pengunjung hadir, peniaga makanan mendapat pelanggan, pengusaha penginapan menerima tempahan, perkhidmatan pengangkutan digunakan serta produk tempatan dibeli.

“Inilah nilai tambah yang mahu kita hasilkan daripada setiap program kerajaan agar ekonomi setempat turut bergerak,” katanya.

Jelas beliau, penganjuran Festival Sungai Melaka diharap akan terus berkembang sebagai antara festival berasaskan sungai yang terbaik di Malaysia dan seterusnya dikenali di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin festival ini mampu menjadi ikon pelancongan negeri dan antara pemangkin utama kepada kejayaan Tahun Melawat Melaka 2.0,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3473
Kongsi :
Previous post PENGIKTIRAFAN MBOR, PERKUKUH ‘JENAMA’ PELANCONGAN MELAKA