20 TAHUN MENANTI, SRA JAIM SUNGAI UDANG AKHIRNYA JADI KENYATAAN

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

SUNGAI UDANG 7 September – Selepas dua dekad menanti, impian masyarakat Sungai Udang untuk memiliki Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang baharu akhirnya menjadi kenyataan apabila pembinaan kompleks sekolah berkenaan direalisasikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, nilai agama Islam tidak pernah diketepikan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, malah pendidikan agama terus diberi perhatian sebagai asas pembentukan generasi masa depan.

Beliau berkata, pembinaan SRA JAIM Sungai Udang bukan sekadar menyediakan kemudahan pendidikan lebih selesa, sebaliknya menjadi pelaburan penting dalam membentuk generasi yang kukuh dari sudut ilmu dan rohani.

“Dalam membina masyarakat masa depan, nilai agama Islam dalam pentadbiran saya tidak pernah diketepikan. Dalam penantian 20 tahun untuk membina SRA JAIM Sungai Udang, akhirnya segala impian menjadi kenyataan.

“Terima kasih kepada semua pemimpin yang bersungguh-sungguh memastikan generasi masa depan mendapat perlindungan dari segi rohani di bumi Sungai Udang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah SRA Sungai Udang sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang di Kampung Sungai Udang, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat serta lain-lain kenamaan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan terhadap usaha memperkukuh pendidikan agama bagi memastikan anak muda mempunyai asas kukuh sebagai jambatan kepada masa depan Melaka.

“Kita bangkit dengan semangat untuk menjadikan Melaka lebih cemerlang selepas ini,” katanya.

SRA JAIM Sungai Udang dibangunkan bagi menampung pertambahan bilangan murid di SRA Sungai Udang yang meningkat setiap tahun, selain menyediakan kemudahan asas lebih baik kepada murid dan guru serta meningkatkan akses dan ekuiti pendidikan agama.

Kompleks baharu itu dibangunkan di atas Lot 14963, Mukim Sungai Udang, seluas 1.331 ekar yang berstatus Rizab Jabatan Agama Islam Melaka.

Projek bernilai RM9.45 juta itu merangkumi tiga komponen utama iaitu blok bilik darjah, blok kantin dan blok surau.

Blok bilik darjah tiga aras menyediakan 12 bilik darjah dengan kapasiti 360 murid dan 25 guru, selain dilengkapi bilik guru besar, bilik guru, bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, pusat sumber serta tandas murid lelaki dan perempuan termasuk kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).

Blok kantin pula berkapasiti 200 murid pada satu-satu masa, manakala blok surau berkapasiti 100 murid dan dilengkapi ruang solat lelaki serta perempuan, ruang wuduk dan tandas.

Pembinaan kompleks berkenaan dijangka mengambil tempoh dua tahun dengan iklan tender dijangka pada 18 Disember 2026, Surat Setuju Terima (SST) pada 29 Mac 2027 dan projek dijangka siap pada 28 Mac 2029.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

571
Kongsi :
Previous post HIMPUNAN BERMOTOR ERAT HUBUNGAN ORANG MUDA MELAKA 
Next post ‘HARI JADI’ MELAKA? TUNGGU DUA KALI JUMAAT..