‘HARI JADI’ MELAKA? TUNGGU DUA KALI JUMAAT..

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SUNGAI UDANG 7 September – Hari jadi Melaka? Tunggu dua kali Jumaat lagi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Itu antara kiasan Ketua Menteri ketika menyentuh mengenai perkembangan politik negeri yang dijangka memasuki fasa penting tidak lama lagi.

Menurut beliau, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah pasti akan diadakan pada tahun ini, namun tarikh sebenarnya akan diumumkan bila tiba waktunya nanti.

Beliau turut meminta rakyat untuk memilih pemimpin yang terbaik terutama mereka yang bersungguh-sungguh bekerja demi rakyat.

“Orang kata kalau nak mandi, yang pertama teluk, yang kedua pantai. Kalau nak pilih pemimpin, pertama elok, kedua pandai,” katanya ketika ucapan ringkas pada Majlis Pecah Tanah SRA Sungai Udang sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Kampung Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

PRN Melaka sebelum ini berlangsung pada 20 November 2021, dengan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.

PRN Melaka seterusnya perlu diadakan sebelum tempoh penggal lima tahun berakhir, tertakluk kepada pembubaran DUN dan proses pilihan raya yang ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

741
Kongsi :
Previous post 20 TAHUN MENANTI, SRA JAIM SUNGAI UDANG AKHIRNYA JADI KENYATAAN