2022 tahun pulih ekonomi, sasar buka 600,000 peluang pekerjaan baharu – PM

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR – Pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022 menjadi antara fokus utama kerajaan pada 2022.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara tumpuan utama pada 2022 ialah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu.

Di samping itu pemulihan segera sektor perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) turut menjadi antara agenda menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Tahun 2022 juga adalah tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang.

“Beberapa tema mustahak perlu digerakkan pada tahun 2022. Antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa.

“Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah memberikan komitmen bagi mencapai status ‘carbon-neutral nation’ pada tahun 2050,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Tahun Baharu 2022 yang dipancarkan secara langsung malam ini.

Ismail Sabri berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia telah meningkat sebanyak 3.0 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, kadar pengangguran turut berada pada landasan pemulihan iaitu 4.3 peratus pada Okt 2021 berbanding kemuncak 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Angka pelaburan sering menjadi antara petunjuk popular keyakinan komuniti perniagaan terhadap keutuhan ekonomi sesebuah negara.

“Malaysia mencatatkan perkembangan positif RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua iaitu peningkatan sebanyak 56 peratus.

“Ini menjadikan jumlah FDI bersih bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak lebih RM30 bilion.

“Saya juga yakin, dengan momentum pertumbuhan ekonomi negara dijangka berterusan pada tahun 2022 dengan kadar pertumbuhan KDNK yang diunjurkan berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus seiring dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada ena peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2155
Kongsi :
Previous post PM ajak rakyat cipta sinar baharu pada 2022
Next post Paras air Sungai Melaka di tahap bahaya pagi ini
Ubah saiz-+=