‘2022 tutup buku’: Imbasan Disember 2022

Masa Membaca:5 Minit, 15 Saat

2 Disember 2022

PM Anwar umum dua TPM dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri serta 28 Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet kerajaan perpaduan, 2 Disember lalu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Anwar, 75, turut memegang portfolio Menteri Kewangan.

6 Disember 2022

Tun Mohd Ali dimasyhur Canselor pertama UNIMEL

AYER KEROH – Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam, secara rasminya dimasyhur sebagai Canselor pertama Universiti Melaka (UNIMEL).
Pemasyhuran itu selaras dengan pembentukan UNIMEL sebagai sebuah universiti awam pada 10 Februari lalu bagi menggantikan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).
Istiadat pemasyhuran itu telah diadakan pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UNIMEL ke-24 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, 6 Disember lalu.

9 Disember 2022

Anwar umum pelantikan 27 timbalan menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri, 9 Disember lalu.
Anwar berkata senarai nama itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

14 Disember 2022

Melaka sebulat suara lulus Bajet 2023

SERI NEGERI – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebulat suara meluluskan Bajet 2023 Negeri Melaka pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, 14 Disember lalu.
Bertemakan ‘Teguh Bersama Makmur Melaka: Memulih Ekonomi, Memperingat Akujanji, Mensejahtera Rakyat’, bajet itu telah dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Dalam undian selepas ucapan penggulungan bajet tersebut, ia telah mendapat sokongan daripada seramai 26 ahli termasuk barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerajaan Perpaduan dari Pakatan Harapan (PH) dan Adun Bukan Kerajaan dari Perikatan Nasional (PN), manakala dua tidak hadir.

16 Disember 2022

Tragedi tanah runtuh Batang Kali korbankan 31 nyawa

KUALA LUMPUR – Negara digemparkan dengan kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, 16 Disember lalu.
Tragedi malang itu mengorbankan 31 nyawa, manakala 61 ditemui selamat.
Antara yang terkorban termasuk lapan mangsa dari dua buah keluarga yang menetap di Machap Baru, Melaka.

19 Disember 2022

Johari Abdul dilantik Speaker Dewan Rakyat baharu

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Johari yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mewakili kerajaan mendapat undian 147 undi berbanding bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.
Terdahulu Mohd Radzi dicalonkan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin mewakili pembangkang.

19 Disember 2022

Melaka capai 95 peratus akujanji satu tahun – KM

SERI NEGERI – Melaka telah berjaya mencapai 95 peratus inisiatif akujanji satu tahun pentadbiran Kerajaan Negeri, umum Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Menurut Sulaiman, inisiatif setahun itu merangkumi 26 inisiatif dan ia dipantau menerusi sistem Melaka Laksana.
“Manakala baki 5 peratus lagi masih dalam proses pelaksanaan dan Insya-Allah, akan dicapai sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya.

19 Disember 2022

Anwar bukti keabsahannya sebagai PM10 di Parlimen

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10, apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan dengan lebih suara bersetuju, pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15, 19 Disember lalu.
Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan tersebut selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, selesai membahaskannya.
Usul itu dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong oleh seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

20 Disember 2022

Dewan Rakyat lulus peruntukan khas perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107.72 bilion – PM

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang membenarkan perbelanjaan sebanyak RM107,718,676,650 dikeluarkan untuk perkhidmatan kerajaan bagi sebahagian tahun 2023.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata pembentangan RUU ini bertujuan untuk mendapatkan kebenaran sementara Parlimen supaya kerajaan boleh berbelanja sebahagian anggaran perbelanjaan bagi tempoh beberapa bulan sehingga Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dibentang semula dan diluluskan kelak.

20 Disember 2022

Bantuan tunai rakyat Fasa 1 diawalkan Januari ini – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan bersetuju meneruskan beberapa bantuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2023 sebelum ini dengan penambahan baik dari segi jumlah serta dipercepatkan tempoh pembayarannnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata ia termasuk Bantuan Tunai Rakyat yang akan diteruskan dengan pembayaran Fasa 1 mula disalurkan pada Januari 2023 berbanding Mac sebelum ini.
Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid pada Januari ini, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, selain Bantuan Kebajikan Masyarakat kepada isi rumah miskin, warga emas dan OKU juga diteruskan.

21 Disember 2022

Melaka asar pelaburan asing RM6 bilion pada 2023

PENGKALAN BATU – Jumlah kemasukan pelaburan asing ke Negeri Melaka bagi 2023 dijangka mampu mencapai sasaran sebanyak RM6 bilion.
Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata peningkatan sasaran itu adalah berdasarkan kepada minat ditunjukkan empat negara yang ingin melabur dalam bidang automotif serta gentian kaca.

21 Disember 2022

Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 dibatalkan

PUTRAJAYA – Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka pada 31 Dis ini dibatalkan berikutan keadaan beberapa negeri yang dilanda musibah banjir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

22 Disember 2022

Sekretariat tetap tangani isu kos sara hidup ditubuhkan

PUTRAJAYA – Satu sekretariat tetap yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Ekonomi, akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menangani isu berkaitan kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sekretariat itu ditubuhkan kerana KPDN tidak boleh bekerja secara bersendirian untuk membawa aspirasi besar mengenai kos sara hidup.
Beliau berkata sekretariat yang akan diketuai oleh ketua setiausaha dua kementerian itu serta dianggotai pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), akan mengemukakan pelan yang komprehensif dalam menggarap persoalan kos sara hidup.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1663
Kongsi :
Previous post Polis keluar 372 saman, sita 10 motosikal ambang tahun baharu di ibu negara
Next post Enam bayi tahun baharu dilahirkan di Hospital Melaka
Ubah saiz-+=