Enam bayi tahun baharu dilahirkan di Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

MELAKA 1 Januari – Enam bayi bertuah apabila dilahirkan pada Tahun Baharu 2023 di Hospital Melaka di sini bermula jam 1.20 pagi tadi.

Sehingga jam 9 pagi, Hospital Melaka menerima seramai empat bayi perempuan dan dua bayi lelaki.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata kesemua bayi dilahirkan itu bagaimanapun berada dalam keadaan sihat.

“Syukur saya berada di Hospital Melaka untuk meraikan kelahiran anak-anak tahun baharu ini.

“Ada enam bayi dilahirkan bermula jam 1.20 pagi ini, semua bayi ini dikhabarkan sihat sejahtera, tiada masalah termasuklah ibu-ibu mereka.

“Daripada jumlah itu dua adalah bayi lelaki dan empat bayi perempuan, bayi paling awal dilahirkan seberat 2.14 kilogram manakala yang keenam seberat 2.94 kilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat bayi tahun baharu yang dilahirkan di Hospital Melaka di sini, hari ini.

Ujarnya Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat tentang kebajikan dan kesihatan golongan wanita di negeri ini.

“Kita memandang berat tentang ibu-ibu ini daripada segi kebajikan, kesihatan dan sebagainya bersesuaian dengan portfolio yang saya pegang.

“Kerajaan Negeri sentiasa bersama dalam mensejahterakan rakyat di Negeri Melaka ini,” katanya.

Dalam pada itu, tiada kelahiran direkodkan di Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin setakat jam 1 petang tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2306
Kongsi :
Previous post ‘2022 tutup buku’: Imbasan Disember 2022
Next post Tapir betina sesat dalam parkir hotel
Ubah saiz-+=