25 mahasiswa UTeM ditauliah Leftenan Muda APM

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DURIAN TUNGGAL 22 Mac – Seramai 25 orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam (PA), pada Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-13 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Komandan Kor SISPA UTeM, Penolong Persuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, Kor SISPA merupakan salah satu cabang platform pilihan yang tepat buat mahasiswa untuk menjana nilai tambah di samping penguasaan bidang akademik.

Katanya, mereka dilatih dengan penglibatan dalam pelbagai aktiviti termasuklah kesukarelawanan melalui program berbentuk khidmat komuniti, kemasyarakatan dan badan beruniform.

“Contoh, pihak UTeM telah menggerakkan penglibatan Kor SISPA dalam aktiviti berkaitan pandemik lalu melalui penugasan di bilik gerakan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Mereka ini juga membantu melancarkan proses kemasukan semula pelajar baharu UTeM, baru-baru ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

WhatsApp Image 2023-03-21 at 11.42.29 AM
BERGAMBAR kenangan (dari Kanan) Muhamad Yusof Heiry Yanto, Zulkifilie Ibrahim, Kamarulsyah Muslim dan Zolkefli Senin.

Majlis pentauliahan itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, hadir sama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Melaka Leftenan t Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim.

Tambah Dr. Zulkifilie lagi, setakat ini UTeM telah berjaya melahirkan seramai 72 orang Leftenan Muda (PA) sejak penubuhan Kor SISPA pada 2016.

Pada majlis pentauliahan sama, Muhamad Yusof Heiry Yanto Masrupi, 26, graduan tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dianugerahkan Pegawai Kadet Kor SISPA Terbaik UTeM 2022.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Kor SISPA UTeM bagi sesi 2020/2021 dan 2021/2022 pernah bertugas sebagai sukarelawan MyVAC (Malaysia Vaccine Support Volunteers).

“Banyak yang saya pelajari sepanjang aktif bersama Kor SISPA. Saya menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan paling penting menepati masa.

“Melalui medan Kor SISPA juga saya dapat mengasah kemahiran insaniah dan pengetahuan melalui beberapa kursus disertai seperti Kursus Asas, ‘First Responder Life Support’, Metodologi, Bakal Pegawai dan Pengurusan Pusat Pemindahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1872
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal menumpang di stor dapat syurga baharu
Next post PM Anwar lakukan lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi
Ubah saiz-+=