28,278 pelajar IPTA terima WPP dengan peruntukan sebanyak RM42.4 juta – PTPTN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) dengan peruntukan berjumlah RM42.4 juta kepada seramai 28,278 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kemasukan sesi Oktober 2022.

PTPTN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, WPP berjumlah RM1,500 bagi setiap seorang pelajar itu telah disalurkan kepada pelajar warganegara yang telah bersetuju menerima WPP melalui saluran yang ditetapkan oleh pihak PTPTN selain memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Tempoh sah laku WPP ini adalah selama dua bulan bermula 5 Oktober 2022 hingga 5 Disember 2022. Pelajar-pelajar boleh menunaikan WPP ini di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mulai 5 Oktober 2022 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

“Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 5 Oktober 2022 lalu melalui portal rasmi PTPTN,” maklum kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama PTPTN turut memaklumkan pelajar yang telah membuat permohonan pinjaman PTPTN bagi tempoh 1 Sept 2022 hingga 30 Sept 2022 boleh membuat semakan kelulusan pinjaman bermula semalam (11 Okt).

“Pelajar yang belum mengemukakan permohonan, boleh membuat permohonan tersebut secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN sehingga 31 Oktober 2022 bagi kelompok kedua untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya,” maklum kenyataan itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1347
Kongsi :
Previous post Guru KAFA mengaku tidak bersalah cederakan murid hingga patah kaki
Next post Teater ‘Adoi…Baba!’ di Panggung Sari JKKN Melaka 14 Okt ini
Ubah saiz-+=