Guru KAFA mengaku tidak bersalah cederakan murid hingga patah kaki

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MARANG, 12 Okt – Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang murid lelaki sehingga patah kaki Julai lepas.

Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Guru itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang murid lelaki berusia sembilan tahun, sehingga menyebabkan patah tulang di bahagian kaki kanan dengan cara mengangkat dan menghempas kanak-kanak itu di atas sebuah kerusi kayu.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam kelas di sebuah sekolah rendah di daerah ini pada 4.15 petang, 6 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Majistret menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala 17 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan serta tidak boleh terbabit dengan jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Dalam kejadian Julai lepas, insiden itu disedari ibu mangsa berusia 36 tahun sewaktu mengambil kanak-kanak itu pulang dari kelas pada 5 petang.

Murid itu kemudiannya telah dibawa ke klinik berhampiran bagi pemeriksaan dan disahkan kaki kanan kanak-kanak terbabit telah patah dan laporan polis berhubung kejadian tersebut telah dibuat ibu bapa mangsa pada 8 Julai lalu.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2177
Kongsi :
Previous post PRU15: BN Melaka antara negeri terawal serah nama calon
Next post 28,278 pelajar IPTA terima WPP dengan peruntukan sebanyak RM42.4 juta – PTPTN
Ubah saiz-+=