PRU15: BN Melaka antara negeri terawal serah nama calon

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MELAKA, 12 Okt – Barisan Nasional (BN) Melaka menjadi antara negeri terawal menyerahkan nama calon kepada pucuk pimpinan parti itu untuk bertanding bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setiap bahagian mencadangkan lima nama untuk dinilai oleh pucuk pimpinan dan pihaknya kini hanya menunggu keputusan individu mana layak untuk bertanding kali ini.

“Semua senarai nama-nama calon yang diajukan telah diserahkan secara total kepada pimpinan pusat untuk dibuat saringan dan juga penilaian.

“Hasil daripada saringan dan penilaian ini akan dipilih satu yang terbaik (untuk bertanding di Parlimen) daripada lima nama yang telah dicadangkan oleh pihak bahagian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Barisan Nasional (BN) Melaka di sini malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata pihaknya menyasarkan untuk menang empat kerusi Parlimen di negeri itu, membabitkan Masjid Tanah, Jasin, Tangga Batu dan Alor Gajah, dan turut mengintai peluang di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU15 kali ini.

Ab Rauf berkata UMNO akan bertanding di empat kerusi Parlimen iaitu Masjid Tanah, Jasin, Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya manakala MCA di Alor Gajah dan Kota Melaka.

Beliau berkata BN Melaka mempertaruhkan calon muka baharu bagi pilihan raya kali ini dan penyandang kerusi Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah tidak bertanding dan sedia memberi laluan kepada calon muda.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata Pengerusi UMNO setiap negeri akan mula mengemukakan nama calon untuk bertanding pada PRU15 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen masing-masing bermula Isnin (10 Okt) lepas.

Melaka tidak membubarkan DUN pada PRU15 kerana baharu selesai melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) November tahun lepas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3765
Kongsi :
Previous post Treler terbalik, sesak kira-kira 4 km selepas Terowong Menora
Next post Guru KAFA mengaku tidak bersalah cederakan murid hingga patah kaki
Ubah saiz-+=