
30 BOT BERHIAS, PERTANDINGAN TEBAR JALA ANTARA TARIKAN FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026
AYER LIMAU 9 September – Jumlah penyertaan bagi pertandingan bot berhias sempena Festival Sungai Melaka 2026 di Jeti Nelayan Telok Berembang, di sini, 12 September nanti dijangka meningkat kepada 30 buah.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, setakat ini jumlah penyertaan bagi pertandingan itu sudah melepasi 22 bot, sekali gus membuktikan usaha pihaknya untuk memajukan ekonomi nelayan sungai semakin membuahkan hasil
Katanya, selain Jeti Nelayan Telok Berembang satu lagi ‘pocket event’ bersempena festival itu akan dianjurkan di Masjid Sungai Siput pada tarikh yang sama.
“Di Jeti Nelayan Telok Berembang akan berlangsung tujuh acara menarik seperti bot berhias, menebar jala, busana cilik, konda kondi, dam aji dan flogging, sarapan pagi percuma juga disediakan kepada semua pengunjung yang hadir.
“Sementara itu di Masjid Sungai Siput pula berlangsung pertandingan memancing ikan air tawar dengan tawaran hadiah utama sebanyak RM500,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelepasan peserta Pertandingan Udang Galah Sepit Biru yang disempurnakan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer di Jeti Nelayan Ramuan China Kecil, pada Ahad.
Shaharul Azuar berkata, hadiah utama bagi pertandingan bot berhias juga dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 bertujuan menarik lebih banyak penyertaan dalam kalangan nelayan tempatan.
“Satu lagi berita baik adalah pemenang tempat keempat hingga terakhir akan menerima RM100 berbanding RM50 sahaja. Ini adalah antara tanda penghargaan kami terhadap nelayan sungai memberikan sokongan amat baik dalam menjayakan aktiviti yang dianjurkan PPSPM,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

