Sorting by

×

30 INSTITUSI TVET ‘SEBUMBUNG’ PERKUKUH PEMBANGUNAN BAKAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDA HILIR 22 April – Kira-kira 30 institusi termasuk agensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya diselaraskan dalam satu jaringan koordinasi Majlis TVET Negeri Melaka dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan bakat serta kebolehpasaran tenaga kerja.

Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, sejak majlis itu digerakkan secara aktif pada 2022, tumpuan utama bukan sekadar menganjurkan program, bahkan membina kefahaman bersama bahawa TVET merupakan satu ekosistem yang bakal membentuk masa depan ekonomi negeri.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata, antara cabaran paling awal dihadapi adalah membabitkan soal penyelarasan kerana terdapat pelbagai institusi di bawah kementerian termasuk agensi berbeza.

Jelas beliau, dalam membina satu hala tuju yang benar-benar tersusun kesemua institusi dan agensi itu tidak boleh bergerak secara silo, justeru penyelarasan perlu dilakukan.

“Hasrat saya sejak awal memang jelas apabila mahu institusi yang benar-benar aktif bersama dapat duduk di bawah satu platform penyelarasan lebih kemas melalui Majlis TVET Negeri Melaka.

“Bagi saya sekiranya serius mahu membangunkan bakat negeri kita juga perlu serius menyusun ekosistemnya.

“Alhamdulillah kini kita sudah melihat hasil kepada usaha itu apabila kira-kira 30 institusi yang benar-benar ‘engage’ bersama kita telah berada dalam jaringan koordinasi yang lebih rapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi TVET Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta lain-lain kenamaan.

Menurut Khaidhirah, penglibatan pihak industri turut diperkukuh bagi memastikan latihan yang disediakan selari dengan keperluan sebenar pasaran kerja.

“Jika dahulu industri dilihat agak jauh, kini kita sudah mula membawa mereka ke meja yang sama yang mana apabila institusi dan industri bercakap dalam bahasa yang sama, barulah kita dapat membina laluan bakat yang tepat untuk negeri ini.

“Menerusi malam apresiasi ini juga menandakan bahawa Melaka sudah bersedia untuk melangkah ke tahap lebih tinggi dengan menyusun pembangunan bakat negeri secara lebih strategik bersepadu serta mampan,” katanya.

Jelasnya, kekuatan Melaka juga adalah apabila Kerajaan Negeri yang dipimpin Ketua Menteri mengangkat agenda TVET sebagai satu keutamaan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

970
Kongsi :
Previous post HAS2026: DUA MOTOSIKAL MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH
Next post ‘TANGAN EMAS’ ANAK MELAKA HARUMKAN NAMA NEGARA